Sabtu, 26 Ogos 2017 | 6:27pm
KETUA Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad melawat gerai pameran di Siri Jelajah Pendidikan KPM 2017, di Kota Kinabalu, hari ini - Foto Mohd Nazllie Zainul
KETUA Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad (tiga dari kiri) bersama-sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul (lima dari kiri) ketika merasmikan Siri Jelajah Pendidikan KPM 2017, di Kota Kinabalu, hari ini - Foto Mohd Nazllie Zainul

RM373 juta bantuan persekolahan di Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan menyalurkan sebanyak RM373 juta melalui Peruntukan Bantuan Persekolahan Kementerian Pendidikan kepada 503,317 murid di Sabah pada tahun ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata bantuan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bantuan umum, bantuan khusus dan bantuan secara sekali gus (one off).

Beliau berkata, sebanyak RM89 juta diperuntukan untuk bantuan umum termasuk bantuan bayaran tambahan persekolahan dan bayaran kokurikulum sekolah.

Selain itu, katanya, RM246 juta disalurkan bagi bantuan khusus meliputi bantuan rancangan makanan tambahan 1Malaysia, Biasiswa Kecil Persekutuan dan Biasiswa Sukan.

"Baki sebanyak RM38 juta pula dibayar secara terus bagi bantuan khas awal persekolahan 1Malaysia dan Baucer Buku 1Malaysia," katanya kepada media selepas merasmikan Siri Jelajah Pendidikan KPM 2017, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul.

Sabah ialah lokasi kelapan selepas Kedah, Terengganu, Melaka, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan bagi penganjuran program berkenaan.

Program hingga esok itu berlangsung di pusat beli belah Suria Sabah dan program yang sama diadakan di Sarawak pada 15 hingga 16 September ini.

Alias berkata, semua bantuan berkenaan bagi memastikan murid di 1,293 sekolah di negeri ini mendapat peluang dan akses pendidikan terbaik serta berkualiti setanding negara maju.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan meluluskan 43 projek baharu dan 147 projek sambungan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos RM3.79 bilion.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM40 juta sudah diberikan tahun ini untuk pembaikan 30 sekolah daif di negeri ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada ucapan Bajet 2017, tahun lalu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM36 juta Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan masing-masing RM18 juta bagi suku pertama dan suku kedua tahun ini diagihkan kepada pegawai pendidikan dan anggota kumpulan pelaksana yang bertugas di 371 sekolah luar bandar.

info

* 57 pertukaran guru diluluskan hingga Jun tahun ini

* 303 permohonan dalam pertimbangan akhir

Berita Harian X