Selasa, 22 Ogos 2017 | 12:11am
ANTARA botol yang menjadi tempat pembiakan Aedes. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
AHLI Skuad Astana Dengue Petrol SMK Puncak Alam 3, Muhammah Harith Aslam Mohd Zan, 16, membersihkan kawasan pembiakan Aedes di Taman Perumahan Desa Coalfield. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KETUA Unit Komuniti Skuad Astana Dengue Petrol SMK Puncak Alam 3, Siti Noraniza Hana Mohammed Nor (empat dari kiri) bersama ahlinya memberi penerangan mengenai bahaya Aedes dan denggi kepada penduduk. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Pelajar sekolah ubah 'hot spot' denggi

SIAPA sangka, usaha sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam 3, di Kuala Selangor, Selangor, untuk memenangi pertandingan 'Misi Gempur Denggi' mampu membawa perubahan kepada komuniti sasaran.

'Kejayaan manis' itu diraih selepas tertubuhnya Astana Dengue Patrol sekolah berkenaan, yang bukan saja mengubah sikap penduduk di Desa Coalfield, malah turut berjaya menukar status kawasan panas denggi di situ selepas diisytiharkan bebas kes demam denggi sejak dua bulan lalu.

Ini diakui Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Mohd Zamree Masdar, yang merujuk kepada lokaliti wabak denggi yang melebihi tempoh 30 hari. 

"Ia dianggap berjaya ditamatkan apabila tiada kes baharu berlaku dalam tempoh 14 hari daripada kes terakhir dilaporkan di lokaliti berkenaan.

"Atas komitmen pelajar, guru dan penduduk setempat, kawasan panas Desa Coalfield kini diisytihar tamat pada 28 Julai lalu," katanya kepada BH.

Sementara itu, Penyelaras Astana Dengue Patrol, Azman Md Zin, berkata di awal penubuhannya, pasukan mahu memenangi pertandingan Misi Gempur Denggi, namun mengubahnya kepada misi menimbulkan kesedaran masyarakat.

SKUAD Astana Dengue Patrol SMK Puncak Alam 3 bersama Abdul Azis (tiga kanan) dan penduduk di Taman Perumahan Desa Coalfield. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

AHLI Skuad Astana Dengue Petrol SMK Puncak Alam 3, Muhammad Harith Aslam Mohd Zan, 16, mengutip botol yang menjadi tempat pembiakan Aedes. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Ditambah pula kawasan kejiranan diisytiharkan kawasan panas denggi, maka menjadi tanggungjawab kami mencari jalan untuk melakukan sesuatu bersama-sama masyarakat menjaga kebersihan di situ.

Masyarakat buat tak kisah

"Usaha pertama adalah dengan bersama-sama memusnahkan kawasan pembiakan Aedes. Permulaannya, kami menganjurkan gotong-royong, namun kurang mendapat sambutan daripada penduduk.

"Malah, ketika kami mengutip sampah di hadapan rumah, mereka hanya buat tidak kisah saja. Jauh sekali untuk turut serta," katanya kepada BH.

Melihat keadaan itu, Azman enggan membiarkan semangat pelajarnya luntur.

Beliau dan guru lain yang turut menyertai gotong-royong itu terus mengingatkan pelajar bahawa itu adalah cabaran yang perlu dihadapi ketika melakukan kebaikan.

"Memang susah untuk mengubah sikap masyarakat tetapi apabila pelajar sedar hakikat menjaga kebersihan, bermakna mereka juga boleh berubah.

"Tambahan pula, kesedaran ini bermula daripada pelajar sendiri kerana mereka akan menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat pada masa akan datang.

"Mengenai kalah menang adat resam dalam pertandingan tetapi kesedaran masyarakat itu adalah kemenangan yang paling bermakna. Masyarakat bebas denggi adalah hadiah yang tiada tolok bandingan dan saya amat gembira dengan komitmen pelajar yang terbabit," katanya.

Kini, masyarakat Desa Coalfields mula menunjukkan minat bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekitar.

Selain bergotong-royong dengan mengutip dan memusnahkan bekas tempat takungan air, pelajar turut menjadi jurucakap program kepada masyarakat mengenai bahaya demam denggi.

Mereka juga menggunakan maskot sambil mengedar risalah mengenai bahaya demam denggi yang dibekalkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

KETUA Unit Komuniti Skuad Astana Dengue Petrol SMK Puncak Alam 3, Siti Noraniza Hana Mohammed Nor (kanan) melihat ahlinya, Noriha Mahyudin (tiga dari kanan) membuat demonstrasi cara meletakkan serbuk untuk mencegah pembiakan nyamuk dan denggi kepada penduduk, Habsah Tarmidi, 70, (kiri) di Taman Perumahan Desa Coalfield. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Pupuk semangat jaga alam sekitar

Sementara itu, Pengetua SMK Puncak Alam 3, Suriati Maharom, berkata walaupun ia pertandingan pertama disertai sekolah berkenaan, sebanyak 56 program gotong-royong membanteras wabak demam denggi dilakukan, termasuk di Desa Coalfield.

"Saya berharap pelajaran yang mereka dapat melalui program ini akan digunakan sepanjang hayat. Walaupun bertuah terpilih menyertai pertandingan itu, sedikit sebanyak berjaya mencetuskan idea baharu bagi memupuk semangat menjaga alam sekitar.

"Selepas ini, kami bercadang ingin mengitar semula barang buangan seperti botol, tayar dan sebagainya. Program ini adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran, ia bukan sekadar membabitkan akademik semata-mata sebaliknya pendidikan sepanjang hayat mereka," katanya.

Pertandingan anjuran syarikat penjagaan kesihatan, Sanofi Pasteur, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan itu akan berakhir 4 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 14 (Desa Coalfield), Abdul Azis Hassan, berkata usaha pelajar dan pengurusan SMK Puncak Alam 3 yang sudah beberapa kali ke kawasan berkenaan membantu membanteras wabak demam denggi, turut memberi impak positif kepada penduduk.

"Penduduk Desa Coalfield berasa amat bertuah, bersyukur dan mengalu-alukan program seumpama ini kerana guru berjaya mendidik dan membawa pelajar ke dunia luar dari persekolahan, mendedahkan mereka dengan amalan positif bergotong-royong bersama penduduk Desa Coalfield.

"Alhamdulillah, sepanjang program berjalan, pelajar, penduduk dengan kerjasama PKD Kuala Selangor, MDKS serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) saling membantu menjayakan program itu," katanya yang menetap di situ sejak 13 tahun lalu.

Berita Harian X