Rabu, 26 Julai 2017 | 12:01am
KETUA Jabatan Kejuruteraan Aeronautik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Prof Madya Dr Zamri Omar. - Foto Adi Safri

UTHM universiti pertama Asia Tenggara miliki lapangan terbang

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bakal menjadi universiti pertama di Asia Tenggara yang memiliki lapangan terbangnya sendiri bagi dijadikan kampus penerbangan bersepadu, menjelang 2019.

Lapangan Terbang Tanjung Laboh yang terletak kira-kira 25 kilometer dari kampus utamanya di Parit Raja, dekat sini, akan dibangunkan mulai tahun depan dengan kos permulaan RM10 juta.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Prof Madya Dr Zamri Omar, berkata usaha untuk mendapatkan serta membangunkan lapangan terbang yang sudah wujud sejak Perang Dunia Kedua itu dilaksanakan sejak 2003.

Beliau berkata, Lapangan Terbang Tanjung Laboh akan dibuka sebagai Fakulti Auronautik yang akan digunakan sebagai kampus utama fakulti berkenaan untuk melatih juruterbang serta jurutera penyenggaraan pesawat.


DR Zamri (kanan sekali) bersama pelajar Teknologi Kejuruteraan Aeronautik, Amirul Harris Rostam, Muhammad Fitrie Kamarulzaman dan Nur Farah Batrisyia Che Ramli di tapak simulasi Aeronautik UTHM. - Foto Adi Safri

PELAJAR Teknologi Kejuruteraan Aeronautik, Amirul Harris Rostam meneliti bahagian badan kapal terbang di tapak simulasi Aeronautik UTHM. - Foto Adi Safri

Katanya, Kementerian Pengangkutan memberi kebenaran kepada UTHM untuk membangunkan lapangan terbang berkenaan sejak 2014 menerusi kaedah pajakan.

"Program ijazah sarjana muda yang ditawarkan UTHM menggabungkan teknologi kejuruteraan Aeronautik berserta kelayakan lesen penerbangan profesional, adalah yang ditawarkan oleh universiti di rantau ini.

"Lapangan Terbang Tanjung Laboh seluas 22 hektar dengan UTHM memiliki tanah seluas kira-kira 130 hektar lagi di sekitar lapangan terbang itu menjadikannya lokasi paling sesuai untuk dibangunkan fakulti penerbangan bersepadu.

"Lapangan terbang itu mempunyai landasan sepanjang 1,000 meter yang menghadap Selat Melaka dan akan dibangunkan dengan kemudahan termasuk tempat menyimpan pesawat, kemudahan Kawalan Trafik Udara (ATC) diiktiraf Jabatan Penerbangan Awam (DCA), ruang pejabat, dewan kuliah, bangunan fakulti selain kolej kediaman pelajar," katanya kepada BH Plus di sini.

Zamri berkata, pada masa ini, UTHM menawarkan dua pilihan dalam program sarjana muda aeronautik, iaitu pelajar boleh memilih sama ada untuk mengambil pelesenan juruterbang atau pelesenan jurutera penyenggaraan pesawat.


BAHAGIAN kokpit di tapak simulasi Aeronautik UTHM. - Foto Adi Safri

PELAJAR Teknologi Kejuruteraan Aeronautik, Muhammad Fitrie Kamarulzaman (kiri) dan Nur Farah Batrisyia Che Ramli di kokpit simulasi Aeronautik UTHM. - Foto Adi Safri

"Menerusi program ini, pelajar tidak perlu lagi membuat pilihan sama ada untuk melanjutkan pengajian di universiti lain atau di pusat latihan penerbangan.

"Pengajian sarjana muda dan latihan pelesenan penerbangan akan dilaksanakan serentak dan mereka berupaya untuk menyelesaikan kedua-dua aspek pengajian ini dalam dalam tempoh empat tahun," katanya sambil menambah program itu turut mendapat permintaan daripada pelajar luar negara termasuk India dan China.

Zamri berkata, UTHM melakukan kajian terhadap beberapa universiti ternama di Britain, Perancis, Australia dan Amerika Syarikat yang menawarkan program Aeronautik berkonsepkan dua dalam satu ini, sebagai penanda aras.

Katanya, program Aeronautik yang ditawarkan UTHM juga mendapat kelulusan akreditasi penuh daripada Malaysia Qualifying Agency (MQA) dan DCA.

"DCA sudah mengadakan audit terhadap fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang digunakan UTHM bagi melaksanakan program Aeronautik ini.

"Dengan penambahan fasiliti untuk fakulti aeronautik UTHM termasuk lapangan terbang sendiri, UTHM komited untuk dikenali sebagai 'Embry-Riddle of the East' bersempena universiti terkemuka aeronautik dunia, Embry-Riddle Aeronautical University, Amerika Syarikat yang dikenali sebagai 'Harvard of the sky'," katanya.

INFO

  • Lapangan Terbang Tanjung Laboh pada asalnya dibina oleh Tentera Jepun ketika penjajahan Jepun pada 1942 hingga 1945 bagi memudahkan pesawat tentera mereka mendarat di selatan tanah air.
  • UTHM akan membangunkan Lapangan Terbang Tanjung Laboh sebagai kampus penerbangan bersepadu dengan kos RM10 juta mulai tahun depan dan dijangka dibuka pada 2019.
  • UTHM bakal menjadi universiti pertama di Asia Tenggara yang memiliki lapangan terbangnya sendiri dengan fasiliti lengkap termasuk fasiliti hangar, kemudahan Kawalan Trafik Udara (ATC) diiktiraf DCA, ruang pejabat, dewan kuliah, bangunan fakulti selain kolej kediaman pelajar.
  • Di seluruh dunia hanya terdapat empat universiti yang memiliki fasiliti lapangan terbang sendiri, antaranya, Embry-Riddle Aeronautical University dan Purdue University Airport, Indiana, Amerika Syarikat.
Berita Harian X