Khamis, 12 Disember 2019 | 4:19pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto BERNAMA

Agong ucap tahniah kepada pemenang pingat Sukan SEA Ke-30

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang pingat pada Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka amat gembira dengan pencapaian atlet dan bangga melihat Jalur Gemilang dikibarkan sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan mereka.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong juga berharap kejayaan itu akan menjadi pemangkin untuk lainnya berusaha lebih keras dan kekal komited untuk mencapai kecemerlangan.

“Seri Paduka mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan bangga dengan pencapaian mereka. Bagaimanapun, Seri Paduka juga faham bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasi sukan Malaysia.

“Atlet, jurulatih, pengurus dan persatuan perlu kekal cekal dan berusaha gigih untuk cemerlang dalam sukan masing-masing.

“Seri Paduka menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus berusaha mencapai impian mereka dan kekal bersemangat untuk mencatatkan kejayaan, demi diri sendiri dan juga untuk negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara.

Untuk rekod, Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA dengan meraih 56 pingat emas, 58 perak, dan 71 gangsa. - BERNAMA

Berita Harian X