Khamis, 12 Disember 2019 | 10:59am
Kerajaan sentiasa menekankan penyertaan inklusif seluruh rakyat Malaysia, termasuk golongan OKU dalam pembangunan negara.

OKU ada potensi, dinamika tersendiri

Menuju 2020 dan digagaskan pula 2030 bagi kesinambungan wawasan negara, kerajaan sentiasa menekankan penyertaan inklusif seluruh rakyat Malaysia dalam pembangunan negara.

Gagasan ini membuktikan, Malaysia mengiktiraf kewujudan setiap anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, paras rupa dan tahap keupayaan fizikal serta mental dalam agenda kemakmuran negara.

Orang kurang upaya (OKU) adalah antara kelompok penting masyarakat yang mempunyai potensi dan dinamika tersendiri.

Lihat sahaja pencapaian mereka dalam bidang paralimpik mahu pun abilimpik peringkat antarabangsa. Tanpa mengira halangan yang ada, keunikan dan keistimewaan mereka inilah banyak menjulang nama negara di persada dunia.

Dilaporkan populasi dunia dianggotai 15 peratus golongan OKU. Di Malaysia, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat Jun 2019 menunjukkan, hampir 549,554 OKU sudah berdaftar, iaitu lebih kurang dua peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Jumlah ini menunjukkan, golongan OKU ini mampu memberi impak signifikan dalam anggota masyarakat. Menyedari hakikat ini, Malaysia antara negara yang komited untuk meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CPRD).

Negara turut memperuntukkan hak dan perlindungan eksklusif kepada OKU dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

Justeru, menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), selain menyediakan kemudahan atau perkhidmatan bagi menjaga, melindungi dan membela OKU, kerajaan turut membangunkan pelbagai kaedah advokasi serta intervensi untuk memanfaat dan menggilap keistimewaan yang sedia ada pada golongan ini.

Kerajaan tidak pernah meminggir atau mendiskriminasi golongan OKU.

Dasar OKU 2007 dan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang dibangunkan di bawah KPWKM adalah inisiatif kerajaan bagi membuktikan golongan ini tidak pernah dipinggirkan atau didiskriminasi.

Usaha mengupayakan OKU juga berjalan seiring, bermula dengan fasa latihan sama ada dalam bentuk kemahiran atau pembangunan diri OKU hingga mereka mendapat pekerjaan.

Kerajaan menyediakan enam TASKA OKU, Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan serta tujuh Taman Sinar Harapan. Di samping itu, Belanjawan 2020 turut menyuntik RM20 juta untuk pembinaan lima Pusat Latihan Berdikari (Independent Learning Centre), khususnya bagi program Sindrom Down dan tambahan kepada TASKA OKU.

Program dan perkhidmatan seperti Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Program Kumpulan Advokasi Diri OKU, Program Pemerkasaan Ekonomi di PDK dan Program ‘Independent Living’; serta perkhidmatan ‘Job-Coach’ dan kaunseling kepada OKU turut disediakan sebagai pelengkap kepada latihan asas disediakan.

Kerajaan juga memberi penekanan kepada kemampuan OKU bersaing di pasaran kerja dengan menubuhkan dua Bengkel Terlindung di negara ini.

Komitmen Kerajaan dalam memperkasakan OKU seperti janji Manifesto Pakatan Harapan turut diterjemahkan melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) yang diaspirasikan sebagai Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) dalam pembangunan OKU.

Dalam konteks ini, ISM berperanan penting membangunkan penyelidikan dengan kerjasama semua pemegang taruh yang berkepakaran daripada kalangan ahli akademik, aktivis sosial juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak kira dalam dan luar negara demi memartabatkan agenda pemerkasaan OKU.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan pelbagai kemudahan, perkhidmatan dan sokongan bagi menjaga, melindungi dan membela OKU.

KPWKM juga menjalankan Peluang Pekerjaan OKU di Malaysia, yang mana akan merangkumi pekerjaan formal dan tidak formal di sektor awam serta swasta.

Penemuan kajian ini diharap antara lain akan memberi maklumat mengenai situasi penawaran OKU di sektor formal dan tidak formal, aspek majikan serta halangan yang dihadapi oleh kedua-dua majikan dan OKU.

Antara hasil yang dijangkakan daripada kajian ini adalah cadangan pembangunan pangkalan data berpusat mengenai pekerjaan bagi OKU dan pembangunan satu pelan tindakan berkaitan penggajian serta guna tenaga OKU di Malaysia.

Kajian Mengenai Sistem Sokongan kepada penjaga OKU di Malaysia juga sedang dijalankan oleh KPWKM, yang menumpukan kepada usaha untuk mengenalpasti bantuan dan sokongan yang sedang disediakan oleh kerajaan serta penelitian keperluan sebenar penjaga OKU seperti sokongan sosial, ekonomi dan kesihatan termasuk mental.

Hasil yang dijangkakan daripada kajian ini, termasuk cadangan mekanisme sistem sokongan bersepadu untuk penjaga OKU serta pelan tindakan komprehensif bagi melaksanakan sistem sokongan itu.

Segala usaha dan pendekatan holistik ini membuktikan kesungguhan serta keikhlasan Kerajaan dalam meraikan golongan OKU. Keistimewaan mereka seharusnya didukung dan disokong oleh semua pihak dengan penuh rasa tanggungjawab.

Justeru, bersempena tema Hari OKU Antarabangsa ‘The Future is Accessible’, kerajaan beriltizam untuk menjadikan negara ini kekal berpegang kepada prinsip keterangkuman dengan memastikan tiada siapa dalam kalangan warganya terpinggir dalam arus perdana pembangunan negara.

Hak dan martabat golongan OKU akan dan tetap menjadi salah satu agenda teras untuk diperkasakan supaya kemakmuran bumi bertuah ini dapat dimanfaat serta dikongsi bersama.

Selamat Menyambut Hari OKU 2019.

Berita Harian X