Selasa, 3 Disember 2019 | 11:47am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong. - -- foto BERNAMA

Usul had tempoh jawatan PM dibentangkan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dijadual membentangkan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

"Bacaan kali pertama mengenainya akan dibuat hari ini. Saya akan ulas lebih lanjut selepas pindaan ini dibacakan di Dewan Rakyat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut sama ada pindaan itu akan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri atau tidak membenarkan individu pernah dilantik sebagai Perdana Menteri untuk menjawat jawatan itu semula.

Cadangan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bagi mengelak salah guna kuasa adalah antara janji Pakatan Harapan dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam ciapannya di Twitter memuat naik sebahagian dokumen pindaan akta berkenaan.

Dalam ciapan sama beliau turut menegaskan: "Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan jawatan PM (Perdana Menteri) ke dua penggal dibentang pagi ini #historic," katanya.

Berita Harian X