Selasa, 3 Disember 2019 | 11:46am
MOHAMAD Sabu menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan 2019 di Auditorium Wisma Pertahanan. - Foto BERNAMA

Kementerian Pertahanan mahu peruntukan ditambah tingkat siap siaga ATM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan berharap kerajaan menambah peruntukan bagi menangani isu dan cabaran pertahanan baharu termasuk jenayah siber seperti yang dibentangkan menerusi Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata peruntukan itu penting demi kekuatan dan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selari dengan perkembangan semasa.

“Kalau tengok semua pendirian Ahli Parlimen pembangkang, rata-rata mereka mahu ‘procurement’ Kementerian Pertahanan dipertingkatkan.

“Menerusi KPP, kita ada bentang perkara baharu iaitu jenayah siber.

“Kita bincang soal radar, pesawat terbang tanpa pemandu (UAV) dan dron, ini (peruntukan) perlu dipertingkatkan (bagi menangani cabaran pertahanan baharu),” katanya pada sidang media Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Pertahanan 2019, di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ATM bersedia berdepan sebarang ancaman di perairan kepulauan Borneo apabila ibu negara Indonesia dipindahkan ke wilayah Kalimantan Timur, tidak lama lagi.

Beliau berkata, ATM akan memfokuskan Sabah dan Sarawak yang terletak di kawasan perairan itu bagi mematahkan sebarang cubaan pencerobohan penjenayah rentas sempadan.

Kita lihat pelbagai perubahan termasuk aspek sosioekonomi kawasan itu seperti di perairan, laut dan hutan. ATM bersedia menjaga kawasan itu.

“Usaha ATM ini diharap mengurangkan sebanyak mungkin aktiviti jenayah sempadan,” katanya.

Pada 26 November lalu, Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) dilaporkan bersedia melaksanakan apa sahaja langkah untuk meningkatkan keselamatan di kawasan terbabit.

Panglima Komando Daerah Militer (KODAM) XII/Tanjungpura, Maj Jen TNI Muhammad Nur Rahmad, dipetik berkata walaupun lokasi ibu kota Indonesia yang dirancang itu tidak berada dalam kawasan tanggungjawabnya, sebagai pasukan keselamatan di pulau yang sama, pihaknya bersedia merangka apa sahaja langkah perlu untuk meningkatkan tahap keselamatan.

Berita Harian X