Ahad, 1 Disember 2019 | 5:44pm
Individu tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan di petak parkir yang disediakan untuk OKU di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Dakwa individu salah guna kemudahan OKU

PUTRAJAYA: Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 akan dipinda, antara lain bagi membolehkan individu atau pihak yang menyalahgunakan kemudahan khas untuk golongan itu didakwa.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zulkifli Ismail, berkata ketika ini akta berkenaan lebih cenderung kepada memberi kesedaran terhadap masyarakat.

Selepas pindaan dibuat katanya, selain hukuman terhadap pesalah, pemilik bangunan juga harus mematuhi keperluan minimum untuk OKU dalam apa cara sekali pun.

“Setakat ini, kita lihat PBT (pihak berkuasa tempatan) ada menyediakan (kemudahan OKU) tetapi dari segi penguatkuasaannya tiada.

“Yang ada cuma program kesedaran. Mereka letak papan tanda untuk OKU, itu sahaja.

“Kita lihat sekarang semua agensi sedang meneliti keperluan untuk OKU. Kita nampak OKU sekarang ada permintaan dan selalu perjuangkan hak mereka.

“Kita akan lihat perkara ini (pinda Akta OKU 2008), mungkin bukan lagi pada kesedaran tetapi ia lebih kepada penguatkuasaan. Akta itu sendiri kita kena letak penguatkuasaan membabitkan keselamatan OKU dan sebagainya,” katanya kepada BH.

Ditanya bila pindaan terhadap akta itu akan dibuat, Zulkifli berkata, ia masih dalam perbincangan dan selepas itu perlu melalui kajian.

Beliau menegaskan, akta itu dipinda bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi lebih kepada kesedaran bagi memastikan keperluan disediakan kerajaan berhak diterima golongan memerlukan.

“Kita rasa ia langkah ke hadapan dan terbaik untuk menjaga hak kepentingan OKU di Malaysia, kerana mungkin kita nampak masyarakat tak serius.

“Undang-undang ini bukan fikir untuk menghukum tetapi lebih kepada kesedaran kerajaan, untuk pastikan keperluan yang disediakan mesti orang itu berhak menerima,” katanya sambil menambah, masalah salah guna kemudahan OKU adalah serius.

Pemilik restoran meletakkan kerusi dan meja di laluan pejalan kaki yang dikhaskan untuk OKU.

Zulkifli berkata, JKM, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perancang Bandar, PBT dan agensi berkaitan sedang berusaha memenuhi keperluan warga OKU di kawasan tumpuan golongan itu di seluruh negara.

“Pada pihak berkuasa tempatan dimasukkan apa keperluan untuk OKU dalam pembangunan di setiap PBT.

“Cuma dalam menyediakan keperluan OKU ini, contoh kalau kita bina bangunan, mereka kena tanggung 30 peratus kos untuk (kemudahan) OKU seperti ramp, laluan pejalan kaki dan pemegang tangan.

“Seperti laluan pejalan kaki biasa, harganya biasa. Kalau laluan pejalan kaki untuk OKU mungkin ia membabitkan harga yang tinggi sebab benda itu dibuat sendiri dan bukan (produk) sedia ada,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai hak OKU di negara ini, peguam buta pertama negara, Datuk Mah Hassan Omar, 58, berkata Akta OKU adalah satu-satunya akta yang memperuntukkan undang-undang secara eksklusif berkaitan golongan berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Catur OKU Malaysia, berkata akta yang diluluskan di Parlimen pada 2007 dan dikuatkuasakan pada 8 Julai 2008 adalah akta terpenting, yang memberi pengiktirafan perundangan kepada hak OKU.

Antara kemudahan disediakan untuk kegunaan OKU. - NSTP/Rosela Ismail

“Sebagai peguam, saya agak terkilan kerana hak golongan ini termaktub dalam undang-undang, tetapi tidak dipertahan dan dibela sewajarnya. Begitu juga hak pejalan kaki dan hak akses.

“Sebelum ini, apa yang diberi kepada OKU dianggap sebagai aktiviti amal, kebajikan dan perasaan kasihan untuk OKU menjalani kehidupannya.

“Jadi dengan adanya akta ini, apa-apa disebutkan (dalam akta) adalah hak yang boleh dibela dan dipertahankan di mahkamah.

“Ia membabitkan hak pendidikan dan hak mengakses dalam perjalanan. Contoh kalau ada kes OKU jatuh dekat kawasan pembinaan pun boleh dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Kurang kesedaran punca rampas hak OKU

Kemudahan yang dikhususkan untuk orang kurang upaya (OKU), terus disalahguna oleh mereka yang sempurna pancainderanya.

Antara kemudahan yang selalu ‘dirampas’ ialah petak letak kereta, laluan pejalan kaki, tandas dan tempat duduk dalam pengangkutan khas OKU.

Malah, tinjauan BH selama dua minggu di sekitar bandar raya ini mendapati, sikap pentingkan diri oleh mereka yang normal terus meresahkan OKU.

Ia jelas menggambarkan yang OKU bagaikan sedang dibuli.

Keadaan itu boleh dilihat di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, apabila ada sebuah bengkel membaiki kenderaan meletak kereta rosak dan beberapa motosikal di atas laluan pejalan kaki OKU.

Di kawasan sama, ada pemilik premis membuang sampah berhampiran laluan yang dikhaskan untuk OKU cacat penglihatan.

Di sekitar Kampung Baru dan Brickfields, keadaan lebih teruk apabila laluan pejalan kaki disalahgunakan.

Ada pemilik restoran yang meletakkan kerusi, meja makan, gerai dan tong sampah di atas laluan pejalan kaki OKU, sehingga orang buta terpaksa melencong dan menggunakan jalan raya untuk berjalan.

Di hadapan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dekat Jalan Raja Abdullah, sekitar KL Sentral, Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, ‘ancaman’ utama sehingga merencatkan pergerakan OKU adalah motosikal yang diletakkan di bahu jalan.

Bagi kemudahan parkir khas OKU, ada pemilik kenderaan tanpa pelekat khas OKU meletak kenderaan walaupun sekejap.

Alasan yang selalu diberikan individu terbabit yang sempat disapa oleh wartawan BH adalah ‘mahu cepat, tiada OKU guna dan sekejap sahaja.’

Ketika ini, mereka yang menyalahgunakan petak meletak kenderaan yang dikhaskan untuk OKU boleh dikenakan tindakan oleh pihak pengurusan premis dan PBT, mengikut peraturan masing-masing.

Tinjauan mendapati sampah dibuang berdekatan laluan pejalan kaki untuk OKU di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Eksekutif Kanan Aksesibiliti dan Advokasi Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Siti Huraizah Ruslan, berkata sejak 15 tahun kebelakangan ini, kerajaan melakukan pelbagai usaha menambah baik kemudahan OKU di kawasan bandar, terutama di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, tahap kesedaran masyarakat terhadap hak OKU masih rendah.

Katanya, sebagai contoh kes membabitkan seorang pengawal keselamatan warga Nepal baru-baru ini, yang dipukul seorang lelaki selepas tayar kereta dikunci kerana meletak kenderaan di petak parkir khas OKU.

“Bagi saya, sama ada tahap kesedaran orang itu masih rendah atau dia langsung tidak ada empati terhadap OKU dan hak golongan berkenaan, yang memerlukan parkir itu. Itu kunci kepada penyelesaian masalah.

“Apabila dia ada empati, dia akan tahu kesukaran yang dihadapi OKU yang amat memerlukan parkir berkenaan, terutama bagi pengguna kerusi roda,” katanya.

Lebih mengejutkan, masih ada segelintir masyarakat tidak tahu fungsi kemudahan khas untuk OKU, seperti laluan pejalan kaki yang dikenali sebagai jubin tac berwarna kuning.

Siti Huraizah berkata, ada ketika beliau pula yang ditegur dan dimarahi kerana berselisih ketika menggunakan laluan berkenaan.

Presiden Persatuan OKU Sentral, Ras Adiba Mohd Radzi, pula berkata, sudah tiba masa kerajaan menimbang dan meratifikasi sepenuhnya Konvensyen mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan protokol pilihan.

Katanya, hal itu amat penting kerana ia akan melarang diskriminasi atas dasar kelainan upaya.

“Selama 11 tahun negara kita menandatangani Konvensyen Hak Manusia dan Kurang Upaya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Tetapi kita masih menangguhkan untuk memperakukan dua artikel, iaitu Artikel 15 dan 18.

“Artikel 15 menyentuh mengenai kebebasan dari penyeksaan atau kekejaman, menjatuhkan maruah atau hukuman sementara dan tidak berperikemanusiaan.

“Artikel 18 pula mengiktiraf hak OKU untuk memilih tempat tinggal mereka dan kewarganegaraan, serta kebebasan untuk kami bergerak.

“Masa sudah tiba untuk hak kami ditegakkan. Selama 62 tahun Malaysia merdeka, namun sedihnya kami OKU belum dapat rasai kemerdekaan itu sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, wakil pihak pengurusan yang enggan namanya disiarkan memberitahu BH, tindakan penguatkuasaan bagi individu yang menyalahgunakan parkir kereta untuk OKU di dalam kawasan KL Trader Square dekat Jalan Gombak, tetap diteruskan seperti biasa.

Ia susulan insiden seorang lelaki yang berang dan memukul pengawal keselamatan warga Nepal menggunakan kayu golf, selepas keretanya yang diletak di ruang khas parkir OKU dikunci tayar pada jam 4.30 petang, 20 Oktober lalu.

Berita Harian X