Sabtu, 30 November 2019 | 9:52pm
KETUA whip Ahli Parlimen GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof. NSTP/L Manimaran.

GPS nafi Ahli Parlimen tak isytihar harta

Kuala Lumpur : Seramai 12 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah mengisytiharkan harta kepada Speaker Dewan Rakyat dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua whip Ahli Parlimen GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata baki Ahli Parlimen GPS yang belum berbuat demikian sudah memohon lanjutan masa daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof.

Katanya, laporan media yang turut memetik Ahli Parlimen GPS sebagai gagal mengisytiharkan harta, adalah tidak benar.

“Kami menyangkal sepenuhnya laporan itu. Dokumen perisytiharan harta 12 Ahli Parlimen GPS sudah diserahkan kepada Mohamad Arif dan salinan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, termasuk sembilan yang menghantarnya pada 30 September lalu.

“Dokumen perisytiharan harta diserah dengan tangan, yang mana pejabat Speaker dan Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan ada menerima dokumen berkenaan seperti dicop pada salinan surat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, Ahli Parlimen GPS tiada masalah mengisytiharkan harta, terutama selepas Sarawak menjadi negeri pertama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan SPRM pada Januari 2017.

“GPS menyambut baik saranan Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) supaya semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta.

“Malah, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, sudah mengarahkan semua Ahli Parlimen GPS mengisytiharkan harta,” katanya.

Tambah beliau, media sepatutnya mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan boleh merujuk kepada parti, bukannya membuat laporan hanya bersumberkan portal semata-mata.

“Portal perisytiharan harta SPRM adalah perihal pentadbiran SPRM, sedangkan Ahli Parlimen bukan kerajaan hanya perlu menghantar deklarasi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan salinan saja kepada SPRM,” katanya.

Berita Harian X