Rabu, 27 November 2019 | 1:24pm
Tanah dan penempatan Melayu yang terletak di pinggir Kampung Baru dipercayai menunggu masa ‘terlepas’ kepada pemaju swasta dengan tawaran awal dua hingga tiga unit kondo mewah atau nilai yang bersamaan dengan RM900 bagi satu kaki persegi. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kampung Sungai Baru 'diintai' broker

KUALA LUMPUR: Tanah dan penempatan Melayu yang terletak di pinggir Kampung Baru, di sini, dipercayai menunggu masa untuk terlepas kepada pemaju swasta, apabila ditawar dengan pelbagai projek pembangunan moden, termasuk kondominium mewah.

Antara tanah yang kini menjadi sasaran ialah Kampung Sungai Baru, yang turut menerima tempias daripada Pelan Pembangunan Semula Kampung Baru, selepas harganya dikatakan naik mendadak.

Sumber berkata, ini ditambah apabila sebahagian Kampung Sungai Baru berstatus persendirian atau pajakan 99 tahun, yang membolehkan tuan tanah bebas menjualnya kepada pembeli bergantung harga ditawarkan.

“Ada tuan tanah sudah ditawarkan tiga kondo mewah atau bersamaan RM900 sekaki persegi dan ia mungkin lebih tinggi lagi. Harga ini cukup menarik sehingga ada yang sukar menolaknya,” katanya.

Ini berbeza dengan status tanah Kampung Baru yang mengandungi tujuh perkampungan lain, iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Paya, Kampung Kariah A, Kampung Kariah B serta Kampung Pindah yang ditadbir oleh Malay Agricultural Settlement (MAS).

Di bawah MAS, pemilik dikenakan syarat atau halangan, iaitu hanya boleh menjualnya kepada pembeli Melayu.

Sumber mendedahkan, broker dan pembeli yang menunggu spekulasi harga sudah lama membuat tawaran kepada pemilik tanah Kampung Sungai Baru.

Sumber berkata, pembangunan semula Kampung Sungai Baru tidak membabitkan proses seperti Kampung Baru, tetapi kerjasama pemaju swasta dengan penduduk.

“Penduduk akan menghuni semula kediaman baharu yang dibina. Berbeza dengan tujuh kampung di bawah MAS, kerajaan beli tanah penduduk sebelum ia dibangunkan semula,” katanya.

Seorang pemilik tanah di kampung itu memaklumkan, rancangan pembangunan semula Kampung Sungai Baru sudah diutarakan sebuah syarikat pemaju swasta berpusat di Pantai Dalam di sini, sejak tiga tahun lalu.

Setakat ini, katanya, sebahagian penduduk di penempatan berkenaan sudah dimaklumkan bentuk pembangunan yang bakal dilaksana, termasuk perolehan aset yang ditawar kepada mereka.

“Penduduk yang tinggal di pangsapuri di sini akan ditawarkan dua unit kediaman percuma di kondominium dibangunkan nanti. Mereka yang menetap di tanah persendirian pula ditawarkan tiga unit kediaman.

“Pemaju juga menjanjikan pampasan tunai kepada pemilik tanah. Anggaran nilainya juga mencecah puluhan ribu ringgit bagi setiap pemilik, mengikut keluasan tanah yang diambil,” katanya enggan namanya didedahkan.

Seorang lagi pemilik tanah di kampung itu berkata, rancangan kerja pecah tanah projek pembangunan semula penempatan itu dijangka bermula pada 2021.

Sepanjang tempoh pembangunan semula, katanya, penduduk dan pemilik kediaman di tanah asal, ditawarkan penempatan sementara di kawasan berhampiran, dengan sewaan bulanan ditanggung sepenuhnya pihak pemaju.

“Bagi yang ingin menyewa selain daripada kediaman yang diberikan pemaju (rumah sementara), mereka akan dibayar RM1,500 bagi kediaman pangsapuri atau RM2,500 bagi rumah teres yang disewa,” katanya.

Beliau menjelaskan setakat ini, lebih 60 peratus penduduk dan pemilik tanah di kampung itu sudah menyatakan persetujuan mereka dengan rancangan pembangunan semula berkenaan.

“Baki pemilik tanah masih lagi dalam proses rundingan. Setakat ini, masalah dihadapi adalah bilangan waris dalam satu lot tanah yang ramai. Jadi, untuk dapatkan persetujuan semua penama, ia mengambil sedikit masa.

“Setakat ini, tidak timbul masalah bantahan penduduk menolak pembangunan itu,” katanya.

Katanya, Kampung Sungai Baru dihuni penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu rumah pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian.

Status tanah permudah proses ambil alih

Kawasan Pangsapuri 17 tingkat di Kampung Baru, di sini, antara yang sedang diintai syarikat dan pemaju swasta untuk dibangunkan semula.

Kerajaan yang ketika ini merancang pembangunan semula Kampung Baru juga, dikatakan berminat turut menyenaraikan lokasi itu dalam pelan terbabit.

Ini diakui Ahli Jemaah Malay Agricultural Settlement (MAS), Raden Salikun Mui, bahawa status tanah persendirian kawasan pangsapuri itu memudahkan proses rundingan berbanding tujuh lagi kampung di bawah MAS.

“Difahamkan bagi lokasi Pangsapuri 17 tingkat, kerajaan dikatakan turut berminat dengan kawasan itu. Urusan pengambilalihan mungkin lebih mudah berbanding kawasan lain (tujuh kampung di bawah MAS),” katanya.

Raden Salikun Mui. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Katanya, Kampung Sungai Baru di pinggir Kampung Baru juga bukan tanah yang dalam rundingan dengan kerajaan, untuk dibangunkan ketika ini.

Beliau menjelaskan, beberapa kawasan pinggiran Kampung Baru sudah dibangunkan dengan kediaman mewah, termasuk di Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang status tanahnya milik persendirian.

“Ini adalah kawasan pinggiran Kampung Baru yang bukan sedang dirunding dengan kerajaan ketika ini, untuk dibeli bagi pembangunan semula,” katanya.

Selain Kampung Sungai Baru dan Pangsapuri 17 tingkat, satu lagi penempatan Melayu dalam kawasan Kampung Baru, tetapi tidak terletak di bawah pentadbiran MAS, iaitu Kampung Padang.

Pada 24 Oktober lalu, kerajaan membuat tawaran baharu kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah terbabit pembangunan semula pada harga RM1,000 satu kaki persegi, berbanding tawaran RM850 sebelumnya.

Berdasarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai dan baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham.

Bagaimanapun, Raden Salikun berkata, sebahagian besar penduduk dan pemilik tanah di tujuh kampung di bawah pentadbiran MAS, ada yang menyatakan penolakan kepada cadangan pembangunan semula itu.

“Setiap hari ada saja pemilik asal datang ke pejabat MAS untuk menandatangani petisyen bantahan, menolak cadangan pembelian tanah oleh kerajaan,” katanya menambah, MAS sedang mengumpul petisyen bantahan dan daripada pemilik asal tanah untuk diserahkan kepada kerajaan.

Beliau berkata, antara alasan diberikan adalah tidak mahu kawasan berkenaan dibangunkan dengan projek mewah sehingga mengetepikan warisan yang ada, selain pewaris mahu memastikan tapak pusaka itu dipelihara dan pemilikannya kekal.

Berita Harian X