Selasa, 26 November 2019 | 3:39pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In ketika hadir pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK di Pusat Konvensyen dan Pameran Busan (BEXCO) di Busan, hari ini. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir puji 'Dasar Pandang Ke Selatan' Seoul

BUSAN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meletakkan harapan yang tinggi terhadap sidang kemuncak khas antara Korea Selatan serta Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan berkata ia mampu meningkatkan lagi kerjasama menang-menang.

“Kami menyambut baik dasar pandang ke selatan Korea Selatan,” kata beliau Selasa lalu dalam temu bual eksklusif dengan agensi berita Yonhap dan Yonhap News TV semasa kunjungannya ke Busan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan.

Beliau merujuk kepada Dasar Selatan Baharu pentadbiran Moon Jae In yang bertujuan memperkukuh hubungan strategik Seoul dengan ASEAN.

Dr Mahathir berkata Korea Selatan tidak seperti sebelum ini kerana sudah mencapai kemajuan yang luar biasa terutama dari segi teknologi.

“Jadi, penting bagi ASEAN membangunkan hubungan yang baik dengan Korea Selatan kerana kami boleh mendapat manfaat daripada pengalaman anda, cara anda melakukan sesuatu dan juga pelaburan dari Korea,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia ‘amat sesuai berinteraksi dengan Korea’ memandangkan keadaan politiknya yang stabil dan sumber manusia negara itu bertutur dalam bahasa Inggeris.

Sambil membayangkan pragmatisme diplomatik Malaysia, Dr Mahathir berkata negara itu juga menghulurkan tangan kepada Korea Utara.

Malaysia kini bersedia membuka semula kedutaannya di Pyongyang, yang ditutup sejak insiden pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Februari 2017.

“Kami ingin bersahabat dengan semua negara di dunia ... Malah Korea Utara juga boleh berdagang dengan kami. Kami tidak suka konfrontasi,” katanya.

Beliau menyifatkan cakap-cakap bahawa kerajaan Korea Utara menjadi dalang di sebalik pembunuhan itu adalah ‘mencurigakan’ dan berkata ia tidak menjejaskan keselamatan Malaysia.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk menyambung semula hubungan normal antara Malaysia dan Korea Utara,” katanya dalam temu bual yang berlangsung di bilik hotel beliau di Busan.

Ditanya bilakah perkara itu akan dizahirkan, Mahathir berkata: “Kami kini bertemu dan berbincang dengan mereka”. Pegawai Korea Utara merancang untuk berkunjung ke Malaysia.

“Kami akan berbincang dengan mereka bilakah masa yang tepat untuk kami membuka semula kedutaan itu,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaannya akan ‘lebih berhati-hati’ bagi memastikan hal ehwal dalaman negara lain tidak membabitkan atau berlaku di Malaysia.

Beliau mengesahkan sokongan terhadap inisiatif damai serantau Moon.

“Saya menghargai idea Presiden Moon. Beliau berjaya mencapai beberapa kemajuan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata komuniti antarabangsa perlu mengelak sikap menggesa Korea Utara ‘melakukan segalanya’ sebelum menarik balik sekatan.

Pemimpin berusia 94 tahun itu tiba di bandar pelabuhan Busan pada Ahad.

Beliau segera melawat Industri Aeroangkasa Korea (KAI) yang juga sebuah syarikat utama aeroangkasa dan pertahanan.

Beliau merancang melawat Hyundai Rotem, yang turut menghasilkan barangan pertahanan.

Ditanya mengenai jadualnya, beliau berkata Malaysia kini mencari rakan kongsi sesuai bagi membekalkan senjata api yang diperlukan untuk pertahanan dan keselamatannya sendiri.

Beliau juga kelihatan berhati-hati dengan usaha Korea Selatan mengadakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia.

“FTA selalunya baik, namun kita perlu faham kelemahan dan kekuatan negara yang terbabit,” katanya sambil menambah bahawa kekuatan industri Malaysia masih pada peringkat awal.

Beliau menyamakan keadaan itu dengan ‘handicap’ seorang pemain golf. Untuk bertanding menentang Tiger Woods, seorang pemain golf amatur mungkin perlu menyesuaikan ‘handicapnya’ dalam usaha menjadikan pertandingan itu adil, kata Dr Mahathir.

Mengulas pertikaian Korea Selatan-Jepun sejak turun-temurun, beliau mencadangkan usaha yang bersifat memandang ke hadapan bagi menyelesaikan konfrontasi atas dasar apa yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan kedua-dua negara.

Beliau dijadualkan ke Seoul sejurus selepas menghadiri sidang kemuncak Busan dan dijangka mengadakan rundingan sidang kemuncak empat mata dengan Moon di Cheong Wa Dae pada Khamis. - BERNAMA

Berita Harian X