Selasa, 26 November 2019 | 1:40pm
PANGLIMA Komando Daerah Militer (KODAM) XII/Tanjungpura, Mayor Jenderal TNI Muhammad Nur Rahmad memeriksa Kawalan Kehormatan Kuarter ketika mengadakan lawatan ke Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Malaysia (PMTTDM) di Kem Muara Tuang di Kota Semarahan, hari ini. - Foto L Manimaran

TDM, TNI-AD perkukuh hubungan bilateral

KOTA SAMARAHAN: Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) bersedia melaksanakan apa sahaja langkah untuk meningkatkan keselamatan di kepulauan Borneo apabila ibu kota negara itu dipindahkan ke wilayah Kalimantan Timur, tidak lama lagi.

Panglima Komando Daerah Militer (KODAM) XII/Tanjungpura, Mayor Jenderal TNI Muhammad Nur Rahmad, berkata walaupun lokasi ibu kota Indonesia yang dirancang itu tidak berada dalam kawasan tanggungjawabnya, sebagai pasukan keselamatan di pulau yang sama, pihaknya bersedia merangka apa sahaja langkah perlu untuk meningkatkan tahap keselamatan.

“Lokasi yang dirancang untuk dibuka sebagai ibu kota baharu Indonesia itu terletak di Kalimantan Timur yang menjadi tanggungjawab KODAM VI/Mulawarman.

“Tetapi sebagai pasukan keselamatan kami tentunya mendukung apa sahaja yang dirangka pemerintah negara dan bersedia untuk merangka langkah perlu untuk menangani isu keselamatan di wilayah kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Malaysia (PMTTDM) di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Kunjungan beliau disambut oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain dengan turut dihadiri Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd Din Abu; Panglima 3 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Mohd Isa Jaafar dan Panglima 9 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Abdul Rahman Abdul Wahab.

Muhammad Nur berkata, pihaknya juga belum pasti bila pemindahan ibu kota itu akan menjadi kenyataan kerana ia masih dalam perancangan teliti pemerintah pusat.

Sementara itu, Zamrose berkata kunjungan rombongan KODAM XII/Tanjungpura itu adalah sebagai timbal balas kunjungan pihaknya ke wilayah Kalimantan Barat pada 2 Julai lalu.

Beliau berkata, kunjungan itu adalah antara pendekatan untuk mengeratkan kerjasama bilateral yang sedia terjalin antara TDM dan TNI-AD.

“Hubungan bilateral ini akan memastikan keselamatan khususnya di sempadan kedua-kedua negara sentiasa terjamin.

“Menerusi hubungan bilateral itu, TDM dan TNI-AD sentiasa membincangkan setiap permasalahan yang timbul sebelum ia dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Katanya, selain bertukar kunjungan, kedua-dua angkatan bersenjata itu turut mengadakan latihan bersama setiap tahun selain rondaan bersama bagi memastikan keselamatan di sempadan sentiasa terjamin.

Berita Harian X