Rabu, 20 November 2019 | 8:09pm

Rombakan Kabinet mungkin sebelum APEC tahun depan - Dr Mahathir

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Pengumuman Perdana Menteri itu dilihat sebagai peringatan kepada anggota Kabinet sedia ada untuk meningkatkan prestasi mereka dan sebagai langkah memulihkan kembali imej kerajaan

Dr Mahathir menjelaskan, rombakan Kabinet itu perlu dilakukan susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, baru-baru ini.

“Kita akui beberapa sebab kita mengalami kekalahan yang besar antaranya mungkin parti kita belum cukup matang dan belum susun parti kita dengan lengkap.

“Kita juga mendapati ada isu berkenaan ekonomi kerana kerajaan tidak dapat memberi bantuan seperti kerajaan sebelum ini.

“Ada juga keperluan kita melakukan rombakan Kabinet, jadi saya sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, rombakan terbabit tidak boleh dibuat dengan terburu-buru kerana perlu meneliti dan mengkaji pencapai anggota Kabinet sedia ada.

Beliau menjelaskan, rombakan itu tidak mudah dilakukan dan akan mengambil masa kerana perlu mengambil kira pertimbangan dalam kalangan parti komponen PH, sebelum menggugurkan mana-mana anggota Kabinet.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak menolak akan membincangkan isu rombakan Kabinet pada mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

“Jika kita rombak sekarang mungkin kita mendapati orang baharu akan ambil sedikit masa (untuk bertugas), oleh itu kesannya tak dapat dilihat dalam tempoh masa panjang dan mungkin ketika itu ada lagi permintaan supaya membuat rombakan semula.

“Jika nak rombak, kita kena kaji dengan teliti sebab membuat rombakan dan kena tahu juga individu yang akan menggantikan individu yang digugurkan.

“Saya berpendapat banyak lagi kerja perlu dibuat tahun depan kerana menjadi tuan rumah APEC 2020. Kita tidak boleh memperkecilkan perkara ini kerana ia adalah mesyuarat antarabangsa yang penting. Sebab itu kita kena buat persediaan secukupnya sebelum membuat perubahan drastik dalam kerajaan,” katanya.

Katanya, apa yang menjadi masalah dalam kerajaan ketika ini adalah isu komunikasi dalam menyampaikan apa yang sudah dilaksanakan.

“Apa yang berlaku kepada saya adalah tidak penting tetapi perkara paling penting adalah apa yang berlaku kepada rakyat dan negara. Jadi mungkin rombakan ini akan dibuat sebelum APEC tahun depan,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media Mesyuarat MPT Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X