Isnin, 18 November 2019 | 7:56pm

Kerajaan tubuh pasukan petugas khas isu penarafan keselamatan udara negara

PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyelia langkah-langkah pembetulan dalam usaha Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengembalikan status penarafan Pengawal Selia Penerbangan kepada Kategori 1.

Pasukan petugas lapan anggota itu diketuai oleh veteran penerbangan, Datuk Ir Kok Soo Chon dengan dianggotai pegawai teknikal yang berkelayakan dan pakar antarabangsa dalam pelbagai bidang penerbangan.

Mengumumkan demikian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah itu dibuat susulan keputusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menurunkan taraf keselamatan udara CAAM ke Kategori 2 selepas tidak berpuas hati dengan 33 perkara daripada 300 perkara yang diaudit.

"Tugas pasukan ini untuk memantau usaha CAAM kembali ke Kategori 1 dan melapor terus kepada saya.

"Beliau (Soo Chon) adalah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) semasa FAA mengaudit CAAM pada 2003 dan akan mengetuai pasukan ini dalam tempoh 12 bulan sebelum kita memanggil FAA untuk mengaudit semula CAAM.

"Badan bebas ini juga akan dianggotai oleh pakar penerbangan termasuk empat juruterbang, tiga jurutera dan seorang penyelaras teknikal dengan tiga daripada mereka adalah pakar dari Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dengan objektif untuk kembali pulih kepada status Kategori 1, pasukan petugas akan melaporkan kepada Menteri Pengangkutan dan anggota CAAM mengenai tahap kemajuan dalam menyelesaikan semua dapatan penilaian FAA.

Pasukan petugas bakal memuktamadkan semua langkah-langkah pembetulan di bawah dapatan Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa FAA 33 (IASA) yang dikategorikan sebagai "status terbuka" dan isu lain yang berkaitan dalam tempoh 12 bulan.

Menurut Loke, Soo Chon bersetuju untuk mengetuai pasukan petugas dengan syarat bahawa beliau tidak mahu satu sen pun upah dan elaun.

"Saya telah menghubungi beliau yang merupakan seorang veteran dalam bidang penerbangan dan banyak pengalaman. Beliau bersetuju untuk memberikan khidmat secara percuma kepada kerajaan untuk mengetuai pasukan khas ini," katanya.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Malaysia lulus audit FAA pada 2016, Loke berkata maklumat berkenaan tidak benar.

"Audit terakhir (FAA) ialah pada 2003...16 tahun ini tidak pernah ada audit dari FAA. Jadi audit FAA yang terakhir ialah 2003 dan ketika itu Datuk Kok adalah Ketua Pengarah DCA dan berjaya kekal status Kategori 1,” kata Loke.

Pada 11 November lalu, FAA memaklumkan CAAM diturunkan penarafannya sebagai Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 berbanding Kategori 1 sebelum ini.

Ia hasil daripada Kajian Semula FAA ke atas CAAM yang dilaksanakan pada April 2019.

FAA menjalankan audit pengawal selia yang mengawasi operasi penerbangan ke Amerika Syarikat (AS).

Audit itu merangkumi bidang perundangan, pengawasan, perwakilan kuasa serta kecukupan bilangan kakitangan teknikal di bawah CAAM.

Berikutan tindakan itu, syarikat penerbangan yang dilesenkan oleh CAAM tidak dibenarkan menambah laluan baru dan jumlah penerbangan dari dan ke AS.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada sidang media di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X