Sabtu, 16 November 2019 | 8:00pm

Kes intip, hendap WhatsApp jadi kesalahan jenayah

KUALA LUMPUR: Undang-undang berkaitan jenayah intip dan hendap dikenali sebagai anti-stalking law yang bakal diperkenalkan kerajaan, dijangka mampu melindungi mangsa khususnya wanita, daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.

Kesalahan dijangka termaktub dalam undang-undang terbabit, bukan setakat gangguan secara sentuhan semata-mata, tetapi merangkumi perbuatan secara berterusan menggunakan pelbagai instrumen atau medium, termasuk telekomunikasi hingga mengganggu emosi mangsa.

Malah, perbuatan lelaki menghantar bunga setiap hari atau pesanan menerusi aplikasi sembang WhatsApp setiap malam kepada seseorang wanita hingga membuatkan mangsa berasa tidak selesa, walaupun tidak pernah mencarut sekali pun, akan dianggap sebagai mengganggu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Peguam Jenayah, Majlis Peguam Malaysia, Muhammad Hasif Hasan, yang turut terbabit dengan pembikinan kertas cadangan undang-undang itu bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), mengakui perbincangan yang berlangsung minggu lalu, dibuat dalam Bengkel Kajian Dasar bagi mewujudkan undang-undang sedemikian di negara ini.

Perbincangan itu, menurut Muhammad Hasif, menyentuh usaha memberi perlindungan terhadap mangsa, sekali gus memperkasakan undang-undang sedia ada.

Jelasnya, undang-undang itu yang lebih cenderung bagi melindungi hak wanita yang terkesan selepas diganggu gugat pihak tertentu, bukan secara sentuhan sama ada melalui platform dalam talian atau realiti.

“Misalnya, perbuatan seorang lelaki itu selalu merenung wanita yang juga rakan sepejabatnya setiap hari, meskipun tanpa ungkapan cinta, tetapi perbuatan terbabit membuatkan mangsa tak selesa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Peguam Jenayah, Majlis Peguam Malaysia, Muhammad Hasif Hasan.

“Begitu juga pasangan suami isteri yang sudah bercerai. Apabila bekas isteri tak lagi mahu bersama semula dengan bekas suaminya, tetapi lelaki terbabit setiap hari merayu dan sebagainya, macam orang gila talak sehingga wanita terbabit terpaksa menukar nombor telefon. Undang-undang itu akan melindungi wanita berkenaan.

“Begitu juga kalau ada lelaki menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp setiap malam kepada wanita dan mangsa tidak dapat berbuat apa-apa (menghalangnya). Meskipun selepas mangsa menukar nombor telefon pun lelaki itu masih mengacau, itu pun tertakluk kepada akta kerana mengganggu dan stalking (intip serta hendap),” katanya.

Muhamad Hasif berkata, selama ini, bagi kesalahan membabitkan sentuhan, Sekyen 354 Kanun Keseksaan boleh digunakan bagi kesalahan mencabul kehormatan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.

Beliau menegaskan, perbuatan stalking yang dialami boleh menyebabkan diri mangsa tidak selesa dan ketika ini tiada akta boleh melindungi daripada situasi sedemikian.

“Pertama, undang-undang ini yang mana akan memberi satu hukuman kepada si pelaku. Kedua untuk melindungi mangsa daripada diganggu, lazimnya membabitkan wanita.

“Selepas itu, ada cadangan melihat atau tahap kesusahan atau kesan kepada wanita itu. Apabila mangsa alami kemurungan atau trauma yang lebih, maka ada undang-undang yang hukumannya lebih tinggi kerana mangsa trauma dalam keadaan teruk.

“Jadi, hukuman itu berdasarkan impak kepada mangsa sehingga boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun,” katanya kepada BH.

Perbuatan stalking yang dialami boleh menyebabkan diri mangsa tidak selesa dan ketika ini tiada akta boleh melindungi daripada situasi sedemikian.

Mengulas perkembangan usaha memperkenalkan anti-stalking law itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata rang undang-undang (RUU) itu dijangka dapat dibentangkan di Parlimen, kemungkinan pada Mac tahun depan.

Ketika ditemui BH di Parlimen baru-baru ini, beliau berkata, draf itu perlu melalui beberapa peringkat proses seperti konsultasi dengan pihak tertentu, termasuk Jabatan Peguam Negara, yang mengambil masa.

“Ya, akan bentang pada tahun hadapan, tetapi kita akan cuba yang terbaik dan secepat mungkin. Ada draft bill (draf RUU) dan ia perlu konsultasi dengan beberapa pihak tertentu dan Jabatan Peguam Negara. Ia memakan masa, namun kita cuba buat yang terbaik,” katanya.

Berita Harian X