Sabtu, 16 November 2019 | 3:28pm
Isi kandungan program disiarkan melalui platform penstriman, Netflix, perlu dikawal berikutan kebimbangan disuarakan ibu bapa. - Foto Reuters

Kawal kandungan program siaran Netflix elak kebimbangan ibu bapa

KUALA LUMPUR: Isi kandungan program disiarkan melalui platform penstriman, Netflix, perlu dikawal berikutan kebimbangan disuarakan ibu bapa.

Perkara itu harus dipandang serius berikutan Netflix menjadi penyumbang utama hiburan tanpa ditapis dalam kebebasan dunia siber yang tidak dikawal.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menyifatkan kekhuatiran itu tidak wajar dilihat remeh kerana boleh memberi kesan terhadap masa depan generasi akan datang.

“Walaupun penapisan bukan bawah bidang kuasa FINAS, kita memandang serius kerana isi kandungan berkenaan boleh memberi kesan negatif jika tidak dipantau dari sekarang.

“Negara ini mengambil pendekatan mengawal kandungan filem dan rancangan televisyen tempatan tetapi pada peringkat antarabangsa masih lagi terbuka.

“Itu semua akan memberi risiko terhadap pembangunan minda anak-anak. Jika usaha itu tidak dilakukan dari sekarang, akhirnya ia tidak akan ke mana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keluarga Sejahtera, di sini, hari ini.

Sharifah Hapsah (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ahmad Idham selepas perasmian Seminar Keluarga Sejahtera di Dewan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. - NSTP/Aziah Azmee

Seminar dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Yang turut hadir, Yang Dipertua NCWO, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham berkata, walaupun kebimbangan berhubung nilai negatif diketengahkan menerusi Netflix pernah disuarakan, masih belum ada sebarang tindakan susulan.

“Kita hanya boleh bising tetapi akhirnya negara ini belum ada punca kuasa bagi menyekat kemasukan pengaruh negatif berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, FINAS akan bekerjasama dengan NCWO untuk menganjurkan seminar dan kempen memberi kesedaran secara serius mengenai perkara itu, dengan membabitkan lebih banyak penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, FINAS juga akan melihat isi kandungan dalam kebanyakan program televisyen dan filem keluaran tempatan supaya menerapkan lebih banyak nilai murni serta kekeluargaan.

“Saya akan cuba memastikan lebih banyak pengumuman perkhidmatan awam (PSA) dan video pendek bersifat ‘edutainment’ dihasilkan dalam usaha mendidik masyarakat.

“Kita juga akan menawarkan kerjasama dengan NCWO untuk mengadakan bengkel mengenai industri kreatif yang memperkatakan bahawa isu kandungan digital pada masa depan mampu menerapkan nilai murni dan lebih positif,” katanya.

Berita Harian X