Khamis, 14 November 2019 | 12:22pm
Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Program Sarapan Bersama NGO Tanjung Piai, di Pekan Nanas, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

'Apa punca turun taraf? Kita akan atasi' - Tun M

PONTIAN: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu maklumat lanjut mengenai penurunan taraf ruang udara Malaysia, sedangkan negara terbukti dengan kecekapan menguruskan lapangan terbang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat mengenai penurunan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia ke Kategori 2.

“Malaysia mahu tahu apa sebenar punca penurunan taraf sama ada ia berpunca daripada kecekapan. Kita nak tahu apa sebenarnya penurunan ini, apa kesannya dan kita akan atasi.

“Kalau dia kata tak cekap dan sebagainya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 20 terbesar di dunia.

“Kita nak tahu apa maksud dia (FAA) turun taraf ni. Kita boleh perbaiki keadaan. Kita nak tahu dia yang buat keputusan, dia tak tanya kita apa sebab dan cari jalan untuk betulkan,” katanya pada sidang media selepas menyertai Program Sarapan Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Tanjung Piai, di Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Beliau yang hadir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut diiringi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengarah Jentera PH Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Menteri Besar dan calon PH bagi PRK itu, Karmaine Sardini.

Program berkenaan yang dihadiri lebih 300 wakil NGO tempatan diatur bagi mendekati masyarakat sempena kehadiran Dr Mahathir bagi membantu kempen PH pada PRK berkenaan sejak semalam.

Dr Mahathir berkata, Malaysia juga diberi kepercayaan mengurus lapangan terbang di Turki dengan mengendalikan sehingga 31 juta penumpang setahun.

“(Lapangan terbang itu) diurus orang kita. Sekarang pun ada jemputan negara lain untuk kita menguruskan lapangan terbang supaya selamat,” katanya.

Selain itu Dr Mahathir berkata, juruterbang Malaysia juga mudah diterima negara lain termasuk India, China dan negara Arab.

“Jadi kita terkenal sebagai orang yang berkebolehan. Orang kita kalau kerja di luar negeri bukan (bekerja sebagai) pelayan dalam rumah. Mereka profesional, juruterbang, jurutera, arkitek dan macam-macam lagi.

“Bekerja sebagai profesional dan mereka dihormati dan gaji mereka sama dengan gaji profesional Eropah,” katanya.

Isnin lalu, FAA menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia ke Kategori 2 sekali gus melarang syarikat penerbangan negara daripada menambah penerbangan ke Amerika Syarikat.

Berdasarkan peraturan FAA, syarikat penerbangan negara Kategori 2 tidak boleh membuat permohonan laluan atau menambah penerbangan baharu serta tidak dibenarkan membuat ‘code-sharing’ penerbangan.

Berita Harian X