Khamis, 14 November 2019 | 11:18am
PERDANA Menteri merangkap Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamed menyampaikan ucapan pada Majlis Sarapan Pagi Bersama NGO Parlimen Tanjung Piai, di Warung 800 Pekan Nenas, di Pontian. Turut kelihatan, calon PH, Karmaine Sardini. NSTP/Hairul Anuar Rahim.

Pengundi tidak mudah ditipu - Tun M

PONTIAN: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin cubaan kem pembangkang mengelirukan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, termasuk menggambarkan beliau sebagai Perdana Menteri kerajaan lama Barisan Nasional (BN), tidak akan berjaya.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, masyarakat tempatan sudah bijak untuk mengenal pasti sama ada sesuatu maklumat itu betul atau sebaliknya, terutama menjelang sesuatu pilihan raya.

“Saya harap orang di sini jangan dengar hasutan BN yang tipu macam-macam. Hari tu, mereka (menyebarkan) gambar saya memakai baju biru BN kononnya saya berkempen untuk BN.

“Saya tak rasa orang sini akan terpedaya. Mereka bukan bodoh kerana pernah melalui 14 pilihan raya selain PRK. Mereka arif mengenal pasti penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sarapan Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Tanjung Piai di Pekan Nanas di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar yang juga Pengarah Jentera PH PRK Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan calon PH bagi PRK itu, Karmaine Sardini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, taktik lain digunakan kem pembangkang adalah menyebarkan risalah mengaitkan calon PH, Karmaine dengan kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) untuk menaikkan kemarahan masyarakat Cina.

“Saya tak rasa orang Cina akan undi BN semata-mata kerana lihat gambar calon PH (sokong) BMF.

“Di Malaysia, tak mungkin kita boleh beli barang dari satu bangsa saja. Keperluan kita luas, kita perlu bekalan dari semua termasuk Melayu, Cina dan India. Percubaan untuk boikot (satu bangsa) tak boleh jalan di Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU turut menafikan PH menggunakan sentimen kaum ketika berkempen pada PRK Tanjung Piai, sebaliknya menegaskan BN yang berbuat demikian.

“Mereka mulakan sentimen perkauman. Mereka cuba bercakap mengenai orang Melayu Islam, tapi walaupun Melayu ini Islam (calon PH), tapi mereka suruh undi calon dia bukan Islam.

“Jadi dia cakap saja kononnya nak sokong orang Melayu. Di Malaysia ini, seorang wakil rakyat adalah wakil semua kaum. Saya bukan Perdana Menteri orang Melayu saja, saya Perdana Menteri untuk semua kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara UMNO dan MCA di PRK Tanjung Piai juga tidak ikhlas dan hipokrit kerana sebelum ini lantang memperjuangkan isu Melayu.

Berita Harian X