Rabu, 13 November 2019 | 5:29pm

Kontroversi debat, penuntut UA ditahan

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan seorang penuntut universiti awam (UA) semalam, susulan tajuk kontroversi pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 bulan lalu.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Penolong Pengarah (Kanan) Ahmad Zaki Hamzah, berkata penuntut berusia 25 tahun yang berperanan sebagai ketua hakim pada pertandingan debat itu ditahan ketika memberi keterangan pada jam 11 pagi.

Katanya, lelaki itu terdahulu dipanggil memberi keterangan susulan tajuk debat iaitu ‘Menulis Semula al-Quran dan ‘Amalan Homoseksual bukan dosa dalam Islam” yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

“Dia ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Lelaki itu dibebaskan jam 5 petang semalam dengan jaminan penguat kuasa JHEAINS bersama seorang penjamin sehingga tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Zaki berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan untuk arahan selanjutnya.

Pertandingan debat yang diadakan di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) di sini, pada 11 dan 13 Oktober lalu meminta pelajar berhujah mengenai kecacatan dan kekurangan al-Quran serta memaksa mereka menulis semula al-Quran dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal.

Selain itu, pendebat turut diminta berhujah bahawa homoseksual bukan satu dosa dalam Islam dan al-Quran sehingga mencetuskan suasana tidak selesa kepada pihak terbabit.

Susulan itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) mendesak tindakan tegas diambil terhadap penganjur debat itu.

BH sebelum ini turut melaporkan, siasatan mendapati panel pemilih usul pertandingan debat itu di SDAR yang mencetuskan kontroversi, tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kementerian Pendidikan menyatakan panel terbabit tidak membuat perbincangan atau mendapatkan pandangan awal pihak SDAR berkaitan usul tajuk debat.

Berita Harian X