Rabu, 13 November 2019 | 4:25pm
TIAN Chua dan P Prabakaran.

Prabakaran diminta letak jawatan beri laluan pada Tian Chua

KUALA LUMPUR: Empat belas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua bertanding semula di kawasan berkenaan.

Cadangan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu, yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam pilihan raya.

Wakil Gabungan NGO Parlimen Batu, Mohd Helmie Mohamad Arof, berkata pada PRU-14, Tian Chua dan PKR memberikan perakuan dan sokongan kepada Prabakaran yang bertanding sebagai calon Bebas.

Katanya, hasil sokongan dan dokongan itu, serta bantuan jentera pilihan raya yang kuat, Prabakaran menang dengan majoriti besar.

“Dengan keputusan mahkamah ini, kami merasakan adalah wajar hak dan peluang diberi kepada Tian Chua untuk kembali mewakili pengundi di Parlimen Batu.

“Prabakaran seharusnya meletakkan jawatan dengan segera dan memberi laluan kepada pilihan raya kecil di Parlimen Batu agar Tian Chua kembali berkhidmat apabila menang nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Helmie berkata, khidmat Tian Chua yang pernah menjadi Ahli Parlimen Batu selama dua penggal, amat diperlukan.

“Beliau menunjukkan rekod perkhidmatan cemerlang walaupun ketika menjadi Ahli Parlimen pembangkang yang serba-serbi kekurangan,” katanya.

Empat belas NGO mengusulkan cadangan berkenaan ialah Pertubuhan Sinar Muafakat, Pertubuhan Tunas Muafakat, Persatuan Bomba Sukarela Cawangan Batu, Pergerakan Pemuda Malaysia Cawangan Batu, Persatuan Permuafakatan Kebajikan Batu dan Persatuan Penganut Tokong Kim Yin.

Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya, Persatuan Orang Kurang Upaya Sentul, Persatuan Penduduk PPR Taman Beringin, Kelab Belia Sri Perak, Persatuan Anak Melayu Sentul, Kelab Ukhwah Insaniah Sentul, Persatuan Belia Melayu Bersatu dan Kelab Ukhwah Insaniah Sentul.

Berita Harian X