Rabu, 13 November 2019 | 1:50pm
Status yang di muat naik A Kadir di laman Facebook rasminya, hari ini.

Peristiwa memalukan menjelang TMM 2020 - A Kadir

KUALA LUMPUR: Pengurusan tertinggi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) harus bertanggungjawab berikutan penilaian Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat menurunkan penarafan Malaysia.

Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, menegaskan Kementerian Pengangkutan juga perlu memikul tanggungjawab di atas peristiwa yang memalukan itu.

Katanya, kerajaan perlu bertindak segera menyelesaikan perkara itu yang disifatkan sebagai tamparan kepada negara, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

“Walaupun ketika ini hanya satu penerbangan Malaysia berdaftar iaitu AirAsia X ke Hawaii, Amerika Syarikat, penurunan penarafan ini memberi kesan negatif kepada seluruh industri penerbangan negara.

“Saya fikir beliau (Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Ahmad Nizar Zolfakar) dan pengurusan tertinggi CAAM perlu bertanggungjawab di atas perkara yang memalukan ini. Saya berharap kerajaan segera bertindak dan mengembalikan keyakinan (industri penerbangan negara),” katanya menerusi status di muat naik di laman Facebook rasminya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan CAAM yang menafikan peletakan jawatan Ahmad Nizar disebabkan penilaian dilakukan oleh FAA.

Sebaliknya, Anggota CAAM, Ragunath Kesavan pada sidang media semalam menjelaskan Ahmad Nizar membuat keputusan itu pada bulan lalu, sebelum pengumuman penilaian dilakukan oleh FAA.

Mengulas lanjut, A Kadir berkata, seluruh mekanisme kawal selia berkaitan penerbangan perlu diteliti semula.

“Penurunan penarafan ini amat memalukan dan langkah FAA ini menjadi tamparan berganda kepada negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 dan ketika kerajaan baru saja menjadikan industri penerbangan antara pemacu utama ekonomi negara.

“Kita tidak boleh mempunyai penjawat awam yang terbabit dengan egoisme dan jingoisme,” katanya.

FAA menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia ke Kategori 2 sekali gus melarang syarikat penerbangan negara daripada menambah penerbangan ke Amerika Syarikat.

Berdasarkan peraturan FAA, syarikat penerbangan negara Kategori 2 tidak boleh membuat permohonan laluan atau menambah penerbangan baharu serta tidak dibenarkan membuat ‘code-sharing’ penerbangan.

Berita Harian X