Selasa, 12 November 2019 | 9:33pm

Penarafan baharu mungkin jejas perkongsian kod Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) menjangkakan penilaian Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mungkin memberi kesan terhadap sebahagian operasi perkongsian kodnya dengan rakan penerbangan bagi laluan Amerika Syarikat (AS).

Syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini, berkata ia mungkin berlaku jika rakan penerbangan laluan berkenaan menilai semula kerjasama perkongsian kod terbabit mengikut penarafan baharu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kepada Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 berbanding Kategori 1 sebelum ini.

“Semua syarikat penerbangan Malaysia, termasuk Malaysia Airlines, akan meletakkan had operasinya bagi laluan AS (perkongsian kod) mengikut tahap semasa ditetapkan. Ketika ini, kami membawa penumpang bagi laluan AS menggunakan kerjasama oneworld.

“Malaysia Airlines dan semua anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) bersedia untuk diaudit bagi memastikan perkhidmatan disediakan setaraf dengan standard antarabangsa dari segi pengurusan keselamatan.

“MAG akan memberi kerjasama penuh kepada CAAM untuk mendapatkan kembali penarafan Kategori 1,” menurut kenyataan itu.

Berita Harian X