Selasa, 12 November 2019 | 2:28pm
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman. - NSTP/Aswadi Alias

Pendatang guna kad pengenalan rakyat tempatan

KUALA LUMPUR: Pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini dikesan turut menyamar menggunakan kad pengenalan milik rakyat tempatan, selain menggunakan kad pengenalan palsu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata perbuatan itu dikesan dalam kalangan PATI yang ditahan

ketika operasi dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah pendatang menggunakan dokumen berkenaan, sebaliknya hanya memaklumkan dalam tempoh 2017 hingga 30 September lalu, 470 tangkapan dilakukan dalam operasi JPN atas kesalahan menggunakan kad pengenalan rakyat tempatan dan dokumen palsu.

“Semua mereka dituduh mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dengan jumlah tertinggi

membabitkan rakyat Filipina (323 orang), selain 106 orang dari Indonesia serta masing-masing sembilan dan lima orang dari China serta Thailand,” katanya menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Azis berkata, berdasarkan rekod JPN dari 2013 hingga 30 September lalu, 2,100 operasi penguatkuasaan terhadap sindiket penipuan dan pemilikan dokumen pengenalan diri palsu atau milik orang lain dijalankan.

Daripada jumlah itu, 1,047 tangkapan membabitkan orang awam dibuat dan didakwa mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Katanya, perbuatan penjualan atau pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu itu dilakukan atas kapasiti individu berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah melalui cara salah.

“Justeru, kuasa penuh diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mendakwa pihak didapati bersalah,” katanya.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) menasihatkan mana-mana individu atau institusi yang meragui ketulenan dokumen pengenalan diri merujuk terus kepada KDN atau JPN bagi tujuan semakan data dan pemeriksaan fizikal dokumen,” katanya.

Berita Harian X