Isnin, 11 November 2019 | 3:29pm
Maszlee berucap pada majlis pecah tanah Dewan Terbuka di SK Batu 24, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

'Akhirnya saya ke sini tapi beliau tiada'

PONTIAN: Projek Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Batu 24, Pekan Nanas bagi kegunaan masyarakat setempat yang diperjuangkan Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik ketika hayatnya sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai, akhirnya terlaksana.

Dalam nada sebak, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang hadir merasmikan majlis pecah tanah projek bakal memanfaatkan enam sekolah berhampiran itu berkata, Allahyarham tidak sempat melihat sendiri pelaksanaan dewan berkenaan.

“Allahyarham kerap berjumpa saya untuk membincangkan isu pendidikan di kawasannya dan antara yang dibualkan adalah pembinaan dewan ini kerana ia mampu memberi manfaat kepada ramai orang.

“Saya berjanji untuk bantu, tapi ketika itu saya beritahu jangkaan kita boleh laksanakan hujung tahun ini kerana menunggu lebihan peruntukan projek lain untuk disalurkan ke sini.

“Yang buat saya sebak, akhirnya saya datang ke sini hari ini selepas beliau sudah tiada. Kita dapat tunaikan hasrat Allahyarham membina dewan ini,” katanya pada majlis pecah tanah projek berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 24 di sini, hari ini.

Maszlee merasmikan majlis pecah tanah Dewan Terbuka di SK Batu 24, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Dewan yang dibina dengan kos RM3 juta itu dijangka siap April tahun depan dan memanfaatkan enam sekolah termasuk SK Batu 24, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, SK Andek Mori Serkat, SK Jeram Batu, SK Pangkalan Raja dan SK Parit Haji Adnan.

Kemudahan itu akan digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk perhimpunan, majlis rasmi, pembelajaran luar bilik darjah selain pertandingan sukan dan kokurikulum.

Sementara itu, Maszlee berharap pihak swasta dapat bekerjasama dengan kementerian bagi membina lebih banyak dewan terbuka sekolah yang diperlukan di pelbagai kawasan di seluruh negara.

“Dewan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada satu sekolah sebaliknya banyak sekolah berhampiran dapat berkongsi menggunakan kemudahan ini.

“Pihak swasta yang memberi sumbangan akan menikmati pelepasan cukai,” katanya.

Mengulas mengenai beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang sudah siap dibina tetapi belum dibuka di Johor, Maszlee berkata, isu berkenaan akan diselesaikan segera.

“(Antaranya) SJKT di Simpang Renggam yang mengalami masalah disebabkan kontraktor, sudah kita atasi dan ia dijangka dibuka Februari depan,” katanya.

Berita Harian X