Isnin, 11 November 2019 | 2:53pm
FUZIAH (dua dari kanan) menerima buku Waqf In Selected Asian Countries daripada Ahli Jawatankuasa Penganjuran GWC 2019, Datuk Dr Ghazali Md Noor (tiga dari kiri) selepas Majlis Perasmian Persidangan Global Waqf 2019 (GWC 2019), di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman.

Rang Undang-Undang Wakaf WP sedang diteliti pejabat Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Akta Wakaf Wilayah Persekutuan (WP) kini sedang di peringkat akhir penelitian oleh Pejabat Peguam Negara, sebelum dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri sekali lagi dan dibentangkan ke Dewan Rakyat, pada akhir sesi Parlimen, tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata apabila diluluskan, akta berkenaan akan diguna pakai di WP Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, seterusnya bakal menjadi model undang-undang berkaitan wakaf di negeri lain.

Beliau berkata, langkah berkenaan perlu kerana ketika ini setiap negeri mempunyai enakmen dan peruntukan undang-undang berbeza untuk mentadbir harta wakaf.

“Kita berharap kewujudan akta baharu ini membolehkan pihak berkuasa dapat memastikan wujud integriti dalam soal pengurusan dan kawal selia harta wakaf di Wilayah Persekutuan dan negeri lain.

“Biarpun sebenarnya harta wakaf ini terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri, namun kadang kala ada kes di mana harta wakaf menjadi pertikaian ahli keluarga atau waris apabila individu yang berniat mewakafkan hartanah berkenaan meninggal dunia tanpa wasiat jelas secara bertulis.

“Berikutan itu timbul pertikaian antara pihak mentadbir harta wakaf berkenaan dengan ahli keluarga biarpun si mati berkenaan sudah mewakafkan tanah berkenaan untuk pembinaan masjid, pusat tahfiz, sekolah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Wakaf Global 2019 di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, kerajaan berharap kewujudan undang-undang berkenaan dapat menjaga kepentingan semua pihak sama ada individu yang berwakaf, warisnya dan mereka yang diberikan amanah untuk menguruskan harta wakaf.

Dalam pada itu, Fuziah berkata kewujudan Akta Wakaf berkenaan juga akan menjadikan piawaian pengurusan wakaf yang seragam di semua negeri bagi memudahkan pelaksanaannya.

“Kita mahu memelihara niat murni dan pahala orang berwakaf sehingga akhirat dengan mewujudkan undang-undang dan peraturan khusus untuk mengawal selia harta wakaf,” katanya.

Berita Harian X