Isnin, 11 November 2019 | 12:53pm
KETUA Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah

AADK nasihatkan pengusaha ketum tukar tanaman lain

ALOR SETAR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan bertemu dengan pengusaha tanaman ketum untuk menasihati mereka supaya menukar kepada tanaman lain sebelum pindaan Akta Racun 1952 diluluskan di Parlimen.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap penanam ketum dan ia tertakluk kepada kerajaan negeri di bawah Undang-undang Kanun Tanah Negara.

Katanya, alternatif memberi nasihat itu akan dibuat setelah beliau menghadiri mesyuarat pegawai kanan berkaitan dadah Asean di Kemboja, baru-baru ini.

“Saya mewakili negara dalam mesyuarat itu, Malaysia dipilih sebagai pengerusi jawatankuasa kerja pembangunan alternatif.

“Jadi saya akan ambil kesempatan ini untuk melihat apa yang dilakukan di Segi Tiga Emas, supaya kita juga boleh menasihatkan mereka yang mempunyai tanah yang ditanam ketum untuk menggantikannya dengan tanaman atau perusahaan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, usaha itu akan dilakukan dalam masa terdekat dan beliau sendiri akan ke Kedah dan Perlis untuk berjumpa dengan pemilik tanah yang menanam ketum dengan kerjasama kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, beliau sangat mengharapkan sokongan Ahli Parlimen untuk meminda Akta Racun 1952.

“Kes rampasan (daun ketum) meningkat saban tahun, itulah sebabnya kita mahu undang-undang akta berkenaan dipinda supaya tindakan lebih tegas dapat diambil.

“Sekarang menanam ketum bukan satu kesalahan, hanya kerajaan negeri yang boleh ambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara, ia bersifat sivil seperti memberi notis dan sebagainya.

“Walaupun saya difahamkan belum ada kajian perubatan yang disahkan Kementerian Kesihatan mengenai khasiat ketum, namun ia terus mendapat permintaan tinggi,” katanya.

BH hari ini melaporkan, sekurang-kurangnya empat daerah di Kedah dikesan menjadi kawasan penanaman ketum yang dipercayai terbesar di negara ini dengan keluasan mencecah lebih 100 hektar.

Kawasan penanaman di Padang Terap, Kubang Pasu, Yan dan Sik berkenaan dianggarkan mampu mengeluarkan sehingga 180 tan daun ketum dengan nilai pasaran mencecah RM3 juta bagi setiap kali tuaian.

Berita Harian X