Jumaat, 8 November 2019 | 8:29pm
Tunku Azizah (kanan) berkenan menerima persembahan penajaan untuk 15 pasangan daripada Dr Colin. - NSTP/Mustaffa Kamal

Satu-satunya permaisuri di dunia miliki empat anak IVF

PETALING JAYA: “Saya satu-satunya Permaisuri di dunia yang mempunyai empat cahaya mata hasil rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) .

“Saya tidak malu katakan kepada seluruh dunia bahawa saya juga mengalami masalah dan kesukaran menimang cahaya mata. Usaha ini mengambil masa lebih sembilan tahun,” titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Katanya ketika bertitah ketika merasmikan pembukaan pusat rawatan kesuburan Alpha  IVF & Women's Specialists, di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas Kumpulan Alpha IVF yang juga Pengarah Perubatan, Datuk Dr Colin Lee serta penyanyi nombor Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.  


Tunku Azizah bersama puteri baginda, Tengku Puteri Jihan Azizah A’thiyatullah berkenan beramah mesra bersama Siti Aafiyah Khalid anak kepada penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza pada Majlis Pelancaran Alpha IVF & Women’s Specialist di Kota Damansara, hari ini. - NSTP/Mustaffa Kamal

Berkongsi pengalaman itu, baginda turut merasai perkara sama dihadapi wanita lain yang mempunyai masalah kehamilan.  

"Saya memahami bagaimana rasanya apabila anda tidak mempunyai anak, wanita dipersalahkan. Tetapi dengan tepat keadaan itu disebabkan oleh kesaksamaan jantina, lelaki juga perlu dipersalahkan. Masalah (kehamilan) 50 peratus disumbangkan lelaki dan selebihnya pula wanita," titahnya.  

Baginda sempat mengucapkan terima kasih kepada semua pakar kesuburan di seluruh dunia kerana memperkenalkan teknologi itu sekali gus memberi peluang baginda mendapatkan zuriat.

“Saya Bersyukur kepada Allah kerana permintaan dan doa saya didengari dengan bantuan teknologi IVF, Ketika menjalani rawatan berkenaan peratusan kejayaan hanya 20 peratus saja. "

“Yakin kepada keajaiban Allah dan sains yang memberi harapan saya menimang cahaya mata. Seorang daripada anak saya bagaimanapun "homemade", titahnya sambil disambut gelak tawa tetamu.

Baginda adalah Penaung Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), ditubuhkan sejak 2004. Baginda memaklumkan penubuhan TAFF bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan zuriat.

“Saya berhasrat membantu mereka sebab saya tahu berapa kosnya (rawatan IVF) dan perasaan pasangan. Sebab itu saya wujudkan TAFF," titahnya.

Pada pelancaran itu, seramai 15 pasangan ditaja kos rawatan menjalani rawatan di Alpha IVF menerusi dana TAFF.

Sementara itu, Dr Colin berkata antara masalah kesuburan hari ini adalah disebabkan gaya hidup masyarakat bandar yang terlalu sibuk dengan tugas harian.

“Semakin moden gaya hidup hari ini, pasangan berisiko mengalami ketidaksuburan sekali gus mengakibatkan kesukaran untuk hamil.

"Pasangan mendahulukan kerjaya dan melambatkan perkahwinan. Jadi, apabila berkahwin pada usia meningkat, tahap kesuburan rendah. Amalan gaya hidup tidak sihat selain sajian tidak seimbang menyumbang kepada ketidaksuburan pasangan,” katanya.

Berita Harian X