Khamis, 7 November 2019 | 3:03pm
Sebahagian kawasan tanah runtuh di kawasan Genting Highlands, semalam. - NSTP/Ihsan Jabatan Mineral Dan Geosains

Waspada risiko runtuhan susulan

KUALA LUMPUR: Wujud risiko runtuhan susulan di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Ion Delement, Genting Highlands berikutan penemuan beberapa mata air di bahagian atas bukit berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands, Yusri Abdullah Sani, berkata ketika pemantauan dilakukan, pihaknya mengesan terdapat sekurang-kurangnya dua mata air di lokasi kejadian.

“Ia antara faktor penyumbang kepada tanah runtuh di lokasi itu tempoh hari, malah langkah berjaga-jaga juga sudah diambil bagi memghadapi sebarang kemungkinan.

“Kami juga dimaklumkan bahawa Jabatan Mineral dan Geosains Pahang sudah melakukan penyiasatan dan pemantauan berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Beliau ketika mengulas lanjut, berkata kewujudan mata air itu boleh menyebabkan berlakunya runtuhan susulan di lokasi kejadian sekiranya hujan lebat dalam tempoh terdekat.

“Justeru, saya meminta orang ramai, termasuk yang menggunakan laluan alternatif untuk sentiasa berwaspada, terutama ketika hujan lebat dan laporkan segera sebarang kejadian membabitkan isu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Jalan Ion Delement yang menghubungkan beberapa hotel dan pangsapuri di pusat peranginan terkenal itu masih ditutup kepada lalulintas sehingga pengurusan cerun membuat penilaian tahap keselamatan di lokasi berkenaan.

Yusri berkata, setakat ini, hanya laluan alternatif dibuka untuk kenderaan ringan bagi pergerakan keluar masuk dari hotel dan pangsapuri di lokasi kejadian.

Beliau berkata, laluan alternatif berkenaan dibuka kira-kira jam 4 petang semalam selepas proses pembersihan tanah, lumpur dan batu selesai dijalankan.

“Laluan utama iaitu Jalan Ion Delement masih ditutup kepada semua jenis kenderaan sehinggalah Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi unit pengurusan cerun selesai membuat penilaian terhadap struktur tanah di situ,” katanya.

Berita Harian X