Khamis, 7 November 2019 | 2:41pm
TIMBALAN Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Bayar IPG secara dalam talian

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan sistem baharu bagi membayar tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun getah secara dalam talian.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menjelaskan sistem itu kini dalam tempoh percubaan yang dilaksanakan di tujuh negeri.

“Kita sedang melakukan percubaan pembayaran (tuntutan IPG) secara dalam talian. Sistem ini belum ada nama... mungkin ‘e-rubber’. Dengan kaedah ini, kita dapat pastikan setiap pemberian insentif akan dibayar terus ke dalam akaun sama ada pemilik atau pekebun kecil.

“Setakat ini, kita sedang cuba di tujuh negeri dan kita ada antara 23,000 hingga 24,000 pekebun kecil yang mendapat manfaat daripada sistem ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) sama ada kerajaan akan menyemak semula mekanisme proses tuntutan IPG.

Shamsul Iskandar berkata, jika sistem itu berjalan lancar, ia akan dilaksanakan di seluruh negara.

Buat masa ini, pekebun kecil perlu mengemukakan borang tuntutan IPG kepada peraih getah atau ketua kampung masing-masing sebelum dihantar ke pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) berhampiran.

Selain itu, pegawai LGM turut turun padang ke lokasi tumpuan bagi mengutip borang tuntutan IPG.

“Pendekatan ini dapat memudahkan proses tuntutan IPG dalam kalangan pekebun kecil sekali gus memastikan mereka dapat menikmati insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya.

Menjawab soalan Ahmad Tarmizi sama ada kerajaan akan menyemak IPG daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3, Shamsul Iskandar berkata kerajaan tidak bercadang untuk berbuat demikian.

“Setakat ini, kalau kerajaan hendak menaikkan kepada RM3, akan ada implikasi kewangan yang agak signifikan. Buat masa ini kita masih lagi bertahan pada RM2.50 sekilogram untuk IPG.

“Kalau dahulu RM2.20 sekilogram, sudah naik 30 sen, jadi saya fikir ia satu perkembangan yang baik kepada rakyat terutama kepada pekebun kecil,” katanya.

Berita Harian X