Selasa, 5 November 2019 | 6:31pm

JPJ, MIROS lihat kerangka sesuai kawal selia basikal lajak

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama agensi berkaitan sudah diminta untuk melihat kerangka bersesuaian bagi mengawal selia dan mengatasi masalah aktiviti basikal lajak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kawal selia itu termasuk melihat kepada penggunaan undang-undang sedia ada, atau perlu melakukan pindaan tertentu mahu pun membuat undang-undang baharu.

“Baru minggu lalu kita membincangkan perkara ini, jadi pihak JPJ bersama penasihat undang-undang kementerian dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), akan melihat bagaimana kita boleh kawal selia aktiviti basikal lajak ini.

“Ini kerana kita tahu fenomena ini menjadi satu masalah kepada orang awam yang membahayakan nyawa kanak-kanak dan pengguna jalan raya.

“Setakat ini, belum ada apa-apa lagi keputusan, kita harap diberikan sedikit masa untuk JPJ bersama agensi lain melihat cara terbaik mengawal dan mengatasi masalah ini,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR 08 JULAI 2019. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, bercakap kepada wakil media ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata ibu bapa kepada kanak-kanak atau remaja yang didapati terbabit aktiviti basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya, boleh dikenakan tindakan kerana kecuaian serta pengabaian hingga mengakibatkan mereka terdedah bahaya.

Beliau berkata, polis boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa berkenaan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Mengikut undang-undang berkenaan, mana-mana individu memelihara kanak-kanak termasuk ibu bapa yang menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkannya dengan cara mungkin menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal atau emosi, boleh dikenakan tindakan.

Ditanya sama ada kawal selia itu termasuk kemungkinan melakukan pindaan Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Loke berkata, kerangka penyelesaian masalah berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh.

“Ramai yang terbabit ialah kanak-kanak, bagaimana kita nak rampas basikal itu dan sebagainya, jadi kita perlu lihat sama ada praktikal atau tidak, itu sebabnya kita perlu lihat keseluruhan akta itu dan apa lagi peruntukan ataupun apa-apa pindaan yang diperlukan.

“Kerangka bagaimana kita hendak mengurus dan mengawal selia termasuk tanggungjawab ibu bapa dan sebagainya, ia perlu dilihat secara keseluruhan,” katanya.

Ditanya tindakan boleh diambil terhadap ibu bapa yang cuai, beliau berkata, pihaknya tidak akan membuat apa-apa kesimpulan sebelum kajian terperinci dilakukan pihaknya bagi mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan menimbang sebarang pemberian subsidi kepada ibu bapa yang tidak mampu membeli kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), Loke berkata, tiada peruntukan untuk perkara berkenaan.

“Cukai import sebanyak lima peratus bagi pembelian produk ini sudah dimansuhkan kerajaan, sudah tentu apabila kita ada penggunaan lebih banyak, harga produk bagi pasaran domestik akan turun.

“Kita nak mulakan inisiatif ini, tetapi ia lebih kepada soal pendidikan terlebih dulu dan beri kesedaran kepada orang ramai, penguatkuasaan pula akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Bermula 1 Januari tahun depan, kerajaan akan mewajibkan penggunaan CRS dalam kenderaan bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian jika berlaku kemalangan.

Berita Harian X