Sabtu, 2 November 2019 | 7:46pm
- Foto hiasan

Benarkan jual vape nikotin secara terkawal - MEVTA

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan penjualan vape mengandungi nikotin di negara ini secara terkawal seperti mekanisme yang dilaksanakan di United Kingdom (UK).

Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Rizani Zakaria, ketika menyuarakan perkara itu menyifatkan pendekatan sedemikian berupaya meraih penyelesaian ‘menang-menang’ antara kerajaan, pengguna dan pengusaha.

Kawalan mengikut acuan pihak berkuasa UK itu dikatakan mampu membendung risiko penyalahgunaan dadah yang dimasukkan dalam cecair vape, dipercayai untuk menyebabkan ketagihan bahan kimia sintetik yang bakal mengundang kesan negatif.

“Pihak industri mohon supaya kerajaan membenarkan penjualan vape nikotin secara terkawal mengikut peraturan yang dibuat di UK kerana ia terbukti berkesan untuk membendung penjualan dan penggunaan dalam kalangan individu bawah umur.

“Selain itu, mekanisme sama menunjukkan tiada kejadian seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, iaitu membabitkan penyalahgunaan produk mengandungi dadah.

“Kami berharap cara kawalan vape nikotin di UK akan dipertimbangkan untuk dilaksana di Malaysia, malah industri sedia patuh termasuk aspek pelesenan, percukaian dan standard produk seperti digariskan peraturan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Khamis lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan beberapa pendekatan, termasuk melarang penggunaan vape dan rokok elektronik.

Jelasnya, kementerian melihat pertimbangan dua pilihan sedia ada, iaitu sama ada larangan sepenuhnya atau mengawal penjualan vape dan rokok elektronik.

Menyentuh sesi rundingan, Rizani memohon jawatankuasa khas bagi merumus kaedah kawalan penggunaan dan penjualan vape yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan akan turut dianggotai wakil industri.

“Industri vape di Malaysia pada masa ini diusahakan oleh ramai usahawan belia tempatan, di mana 95 peratus daripadanya adalah usahawan Bumiputera, malah membabitkan angka pelaburan besar, sekali gus menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi negara.

“MEVTA percaya sekiranya peraturan kawalan seperti di UK diperkenalkan di Malaysia, ini akan membantu menyumbang kepada ekonomi domestik dan membolehkan usahawan belia tempatan menjana pendapatan serta peluang pekerjaan,” katanya.

Berita Harian X