Khamis, 31 Oktober 2019 | 3:15pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Selesai kes 135 sekolah tiada CF, CCC

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyelesaikan 135 kes, setakat 30 Oktober lalu membabitkan bangunan sekolah dan institusi pendidikan tidak mempunyai Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Layak Menduduki (CF).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, ketika memperincikan perkara itu berkata, sebanyak 429 bangunan pendidikan dikesan tidak mempunyai CF atau CCC, pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, isu terbabit berupaya dirungkai hasil kerjasama kerajaan negeri yang akhirnya menjadikan baki 294 kes bangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara tiada CF atau CCC belum diselesaikan.

“Bagi sekolah swasta, kementerian hanya bagi lesen beroperasi secara sementara tetapi selepas itu mereka perlu pergi ke pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menetapkan syarat tertentu.

“Ia merangkumi prasyarat bahawa operasi hanya boleh dilakukan jika bangunan terbabit mendapat perakuan CCC atau CF.

“Jika proses itu diselesaikan, kementerian akan memberi pendaftaran sepenuhnya kepada sekolah swasta bagi memastikan mereka beroperasi di tempat selamat dan mempunyai CCC atau CF,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Noorita Sual (PH-Tenom) mengenai kriteria kementerian menyelesaikan isu CF atau CCC turut tertakluk kepada sekolah swasta dan agama.

Menjawab soalan asal Noorita berhubung punca pelbagai sekolah dan institusi pendidikan tidak mempunyai CF atau CCC, Nie Ching berkata, ia lazimnya berlaku membabitkan bangunan dibina pada pada tahun 50-an hingga 90-an.

Jelasnya, ia wujud disebabkan urusan pembinaan sekolah ketika itu berdasarkan keperluan masyarakat setempat, tanpa mengambil kira hal berkaitan pemilikan tanah.

“Tambahan pula, keperluan mendapatkan sijil layak menduduki bangunan daripada PBT belum diwajibkan, namun ketiadaan CCC atau CF bukan bermakna sesebuah premis tidak selamat diduduki.

“Sebahagiannya disebabkan kriteria atau syarat dikenakan PBT seperti pembinaan dan pelebaran jalan, pemasangan lampu jalan, lampu isyarat, pembinaan jejantas, penyerahan tanah, pemilikan tanah, kompaun belum dijelaskan.

“Adakalanya, syarat ini memerlukan kos tambahan yang tinggi, sedangkan institusi pendidikan berkenaan siap dan lama beroperasi, manakala syarat pembinaan berada di luar kawasan institusi pendidikan.

“Syarat dan tuntutan PBT pula berbeza kerana ia mengikut negeri, justeru ia menyumbang kepada isu ini,” katanya.

Berita Harian X