Rabu, 30 Oktober 2019 | 9:33pm
KETUA MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng (tiga dari kiri) yang diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Tanjung Piai berpelukan dengan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad (tempat dari kanan) sambil diperhatikan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (dua dari kiri) dan ketika majlis pengumuman Calon BN untuk PRK Parlimen Tanjung Piai di Rumah UMNO Pontian. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Ahli UMNO boikot majlis pengumuman calon BN

PONTIAN: Ahli UMNO dikatakan memboikot majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng malam ini.

Tinjauan BH pada majlis itu mendapati hampir 90 peratus kehadiran hadirin di Rumah UMNO Pontian sejak jam 7.30 malam adalah dalam kalangan ahli MCA.

Sumber berkata, hampir keseluruhan Peti Daerah Mengundi (PDM) serta jentera BN di Parlimen Tanjung Piai yang digerak dan dikuatkan daripada kalangan ahli UMNO kawasan berkenaan kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan yang tidak mendengar hasrat serta suara hati majoriti pengundi.

"Kira-kira 75 peratus ahli UMNO yang menjaga PDM BN Parlimen Tanjung Piai memboikot majlis pengumuman calon BN malam ini.

"Walaupun ada Bahagian serta beberapa pemimpin UMNO cuba memujuk ahli akar umbi untuk hadir, kekecewaan kami pasti mengambil masa untuk hilang.

"Malam ini juga hampir keseluruhan PDM Parlimen Tanjung Piai akan mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan isu jentera PRK," katanya kepada BH.

Jeck Seng yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) PRK Parlimen Tanjung Piai. Pengumuman dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad di Rumah UMNO Pontian, di sini.

Yang turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Setiausaha Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

BH sebelum ini melaporkan BN hampir pasti mengumumkan Jeck Seng sebagai calon PRK Tanjung Piai.

Isnin lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan jentera PRK Parlimen Tanjung Piai di sini, dilapor menyerahkan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, untuk mengumumkan calon parti dalam masa terdekat, walaupun sepatutnya mengumumkan sendiri calon BN petang kelmarin.

Isnin lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calon Pakatan Harapan (PH) PRK Parlimen Tanjung Piai.

Kelmarin, GERAKAN mengumumkan Timbalan Setiausaha Agung, Wendy Subramaniam, sebagai calon.

Jeck Seng menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2013 hingga 2018, dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Jeck Seng tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan majoriti 524 undi.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan, menafikan dakwaan hampir semua PDM BN di Tanjung Piai bersedia memboikot kempen PRK kali ini.

Jefridin yang juga Pengarah Operasi BN PRK Parlimen Tanjung Piai berkata, ura-ura berkenaan hanyalah khabar angin yang tidak berasas.

"Mana ada boikot. Kalau boikot satu pun tidak hadir pada majlis ini. UMNO Tanjung Piai berjanji akan memberi sokongan penuh kepada kempen Jeck Seng yang juga rakan baik kami di Tanjung Piai," katanya.

Berita Harian X