Isnin, 28 Oktober 2019 | 10:00am
- Foto FB Pakatan Harapan

Tanjung Piai: Calon PH,  BN diumum petang ini

JOHOR BAHRU: Spekulasi calon yang akan dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, akhirnya akan terjawab petang ini.

PH dan BN masing-masing akan memperkenalkan calon mereka di majlis pengumuman calon serta pelancaran jentera pilihanraya mereka secara rasmi hari ini iaitu lima hari menjelang hari penamaan calon yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PH Johor, dijangka mengetuai kepemimpinan PH Johor untuk mengumumkan calon pilihan PH dalam majlis berkenaan pada jam 2 petang ini di Tanjung Piai.

Calon BN pula akan diumumkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO, pada jam 3 petang ini di Pontian.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Mr Rafik meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

BERSATU dijangka meletakkan anak kelahiran Kampung Dalam, Pontian, iaitu seorang juruterbang, Md Fauzi Md Tamaji, sebagai calonnya.

Md Fauzi, 50, adalah juruterbang pesawat komersial yang pernah berkhidmat bersama syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan Air Asia Berhad serta Air Asia X Berhad.

Beliau adalah ahli biasa BERSATU Bahagian Pontian, dan bekas Pengerusi Biro Antarabangsa Alumni Kelab UMNO Luar Negara bagi tempoh 2010 hingga 2016 selain pernah menjadi Naib Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara Amerika Syarikat (AS).

Nama Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, juga hangat diperkatakan sebagai antara calon yang mungkin akan diturunkan partinya berikutan beliau antara tiga nama yang disenarai pendek untuk menjadi calon PH sejak awal lagi.

Karmaine adalah bekas guru di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, Tanjung Piai dan pernah berkhidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 1980 hingga 2000.

Karmaine yang pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tapi tewas kepada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-UMNO).

Ahmad menang tipis dengan memperoleh 21,132 undi manakala Karmaine meraih 20,299 undi.

Nama ibu Allahyarham Dr Md Farid, Norma Mohamed, 67, yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi BERSATU Tanjung Piai juga antara yang hangat dicanang sebagai calon berpotensi PH.

Norma juga bukan calang-calang individu dan amat dikenali pengundi di Tanjung Piai berikutan pengalamannya sebagai bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai selama lebih 30 tahun selain reputasi anaknya, Dr Md Farid yang disayangi ramai penduduk.

BN pula sehingga saat akhir masih berdolak-dalik mengenai calon mereka dan perkhabaran terbaru mungkin memilih tidak menamakan nama calon yang bakal diturunkan parti itu hari ini dan hanya sekadar melancarkan jentera parti.

Ia berikutan BN dikatakan masih berbelah bahagi sama ada mahu menurunkan calon MCA atau UMNO sehingga saat ini.

Bagaimanapun, MCA terus memberi isyarat BN akan menurunkan calon mereka dan nama yang diperkatakan adalah Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Jeck Seng pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada tahun 2013 hingga 2018. Sebelum ini beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Jeck Seng tewas kepada Dr Md Farid ketika bertanding bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi.

Berita Harian X