Isnin, 28 Oktober 2019 | 9:52am

Majlis Presiden PH tentukan jawatan Perdana Menteri - Dr Mahathir

ASHGABAT (Turkmenistan): Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa hanya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan menentukan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata cadangan daripada ahli Parlimen pembangkang supaya beliau kekal sebagai Perdana menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah pandangan mereka saja.

“Itu pendapat dia orang, yang akan menentukan (saya sebagai Perdana Menteri) ialah Majlis Presiden PH. Kita (Majlis Presiden PH) yang akan putuskan.

“Kalau dulu mereka cadang saya jadi Perdana Menteri sebelum diadakan Pilihan Raya Umum (ke-14), mereka ada hak nak suruh saya duduk lama atau bila sampai masanya,” kata Dr Mahathir pada sidang media bersama wartawan Malaysia semalam, sebelum mengakhiri lawatan rasmi dua hari beliau ke Turkmenistan.

Khamis lalu, enam ahli Parlimen UMNO pada satu sidang media di lobi Parlimen, tampil memberi sokongan agar Dr Mahathir meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga PRU akan datang.

Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Sementara itu, sewaktu sesi perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat pada hari sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, turut memberi jaminan kesemua ahli Parlimen parti itu seramai 16 orang turut memberi sokongan kepada Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang berada di sini untuk lawatan rasmi dua hari bermula semalam, mengulangi bahawa beliau tidak dapat meletakkan tempoh yang tetap untuk berlakunya peralihan kepimpinan negara.

“Saya janji tidak akan duduk lama, cuma saya berpendapat bahawa berasaskan pengalaman saya dulu saya boleh cuba betulkan segala kesalahan yang dilakukan oleh (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila saya berpuas hati, saya tidak akan teruskan (jadi Perdana Menteri) tetapi saya tidak dapat memberi masa tertentu kerana masalah negara ini (Malaysia) amat besar dan tidak mudah untuk kita selesaikan. Hutang kita banyak dan jentera kerajaan sudah dirosakkan oleh Najib.

“Itu perlu dibetulkan lagi dan macam-macam masalah yang ditinggalkan oleh Datuk Najib. Sedikit sebanyak saya mempunyai pengalaman dalam menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Mengikut perjanjian PH sebelum PRU14, Dr Mahathir akan dilantik sebagai Perdana Menteri dan kemudiannya menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

– BERNAMA

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Malaysia di sini sempena lawatan rasmi dua hari di Ashgabat. - Foto BERNAMA
Berita Harian X