Ahad, 27 Oktober 2019 | 8:00pm
Keratan akhbar BH pada 24 Jun lalu.

Petani jual baja subsidi: Pekedai raih untung lumayan

KUALA LUMPUR: Pekedai dikesan meraih keuntungan sehingga RM25 bagi sekampit baja subsidi seberat 20 kilogram (kg) yang dibeli daripada petani.

Keuntungan itu diperoleh pekedai selepas menjualnya semula pada harga RM30 sekampit, sedangkan ia dibeli daripada petani pada harga serendah RM5.

Difahamkan, ada pekedai melantik ejen untuk menjadi orang tengah di antara pekedai menjual barang keperluan pertanian dengan petani, yang memperoleh subsidi baja daripada kerajaan.

Seorang bekas pegawai pertanian memberitahu, ejen berkenaan ditugaskan masuk ke kampung bagi mencari dan membeli baja subsidi daripada pesawah.

Sumber itu berkata, petani sedia menjual baja subsidi pada harga serendah itu, kerana mereka sudah pun mendapat ‘untung atas angin.’

“Ada ejen yang bekerja sendiri dan ada yang bekerja dengan kedai. Sekarang ramai yang bekerja sendiri dan tidak terikat dengan kedai tertentu kerana mereka boleh kaut untung lebih tinggi.

“Mereka masuk ke kampung untuk mencari petani yang dapat subsidi baja tetapi tidak mahu guna. Ada petani yang tak kisah jual harga rendah sebab mereka sudah pun untung,” katanya kepada BH.

Menurut sumber, ada tauke kedai yang menjual baja subsidi jauh lebih tinggi berbanding harga biasa, sambil menambah ia bergantung pada jenis baja dan siapa pengeluar sama ada kerajaan atau pun swasta.

BH difahamkan, harga bagi sekampit baja dengan berat 50kg dijual di kedai biasa pada harga RM150.

Kerajaan membayar antara RM36 hingga RM60 sekampit, tertakluk kepada formulasi baja yang diluluskan.

Lelaki berusia lewat 50-an itu berkata, pesawah yang mendapat subsidi baja menjual kepada pihak luar kerana beranggapan hasil padi tidak setimpal apabila menggunakan baja berkenaan.

“Pesawah yang saya jumpa selalu beri alasan kononnya selepas guna baja subsidi, mereka cuma dapat hasil padi yang ‘biasa-biasa’ atau tidak terlalu besar.

“Ada pihak tegur petani berkenaan dan mereka pernah berhenti sekejap menjual baja tetapi selepas itu, mereka buat perangai semula,” katanya.

Difahamkan, terdapat dua jenis ejen, iaitu pertama yang bekerja sepenuh masa dan kedua, menjadi ejen separuh masa.

Seorang ejen separuh masa yang ditemui BH berkata, sikap petani itu sendiri membuka ruang dan peluang kepada pihak luar membeli baja berkenaan.

Katanya, baja subsidi yang selalu dibeli ejen adalah lebihan yang tidak lagi digunakan petani.

Ejen yang berusia dalam lingkungan awal 30-an itu mendedahkan, ejen akan bergerak ke kampung tertentu untuk membeli subsidi baja daripada petani, selepas mereka selesai musim membaja.

“Ejen akan beli baja subsidi lebihan orang kampung. Maksudnya, kami beli lebihan baja yang orang (petani) tak pakai (tak guna).

“Kalau padi kena penyakit, pesawah akan guna sikit sahaja padi. Padi yang diusahakan oleh petani selalu sangat kena penyakit. Sebab itu mereka buat keputusan untuk jual baja subsidi kepada kami. Duit pun mereka dapat sebab padi kena penyakit dan tak menjadi.

“Stok (beli baja subsidi) mudah dapat sebab masalah penyakit yang membelenggu padi selalu terjadi. Padi pun tak ada kualiti. Tetapi, ada waktu kami sukar dapat beli baja kalau padi elok, tiada penyakit. Mereka akan guna sampai habis,” katanya.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim, ketika dihubungi mengesahkan terdapat gerakan ejen yang masuk ke kampung untuk membeli subsidi baja daripada petani, namun enggan mengulas lanjut.

‘LPP mahu guna nombor kod bar pada kampit baja’

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merancang memperkenalkan sistem baharu, bagi menangani masalah penjualan baja subsidi oleh petani.

Sistem membabitkan penggunaan nombor kod bar yang akan tertera pada setiap kampit baja subsidi itu, membolehkan LPP menjejaki dan mengenal pasti petani yang menjual baja subsidi kepada pihak asing.

Sumber memberitahu BH , kertas kerja bagi cadangan itu sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MoA).

Sumber berkata, hasrat untuk membangunkan sistem nombor kod bar itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya, untuk mendapat ‘lampu hijau’ daripada kementerian itu, ia memerlukan masa kerana kos bagi membangunkan sistem nombor kod bar itu bernilai jutaan ringgit.

“Selepas ini, apabila kementerian setuju dengan sistem itu, setiap kampit baja subsidi akan mempunyai nombor kod bar tersendiri,” katanya.

Ditanya bila tempoh sistem nombor bar kod akan dilaksanakan sumber berkata, kemungkinan ia dapat dilakukan pada tahun depan kerana pihaknya memerlukan masa untuk membincangkan hal berkaitan kos dan teknikal.

“Setiap nombor bar kod akan mengandungi maklumat petani yang menerima baja terbabit.

“Imbas sahaja kod berkenaan. Sistemnya lebih kurang sama dengan mesin imbas bar kod yang diguna pakai di pasar raya.

“Apabila petani menjual kepada pihak lain, kami akan dapat mengesannya. Dengan hanya mengimbas nombor kod bar, segala maklumat mengenai petani akan keluar, sekali gus memudahkan kerja LPP mengesan siapa pemilik baja terbabit,” katanya.

Sementara itu, sumber yang juga pegawai MoA mengesahkan hasrat untuk membangunkan sistem kod bar pada kampit baja subsidi pernah dibangkit dalam mesyuarat baru-baru ini.

Menurut sumber, cadangan untuk melaksanakan sistem kod bar bukan perkara baharu, kerana ia pernah diusulkan pada zaman pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Ya, sistem itu pernah dibangkitkan oleh LPP dalam mesyuarat terdahulu. Tetapi tidak secara khusus. Lagipun, cadangan untuk melaksanakan sistem kod bar ini sudah lama, pada pentadbiran dahulu lagi.

“Perkara itu cuma diusulkan secara lisan dan apa yang boleh saya sahkan adalah, tiada proposal (kertas cadangan) rasmi daripada mana-mana pihak, termasuk LPP.

“Lagipun, kos yang diperlukan untuk membangunkan sistem kod bar itu kemungkinan membabitkan jutaan ringgit.

“Yang pasti, ia memerlukan kajian lanjut dalam usaha memastikan setiap pelaburan terhadap sistem berkenaan benar-benar berkesan,” katanya.

Selain cadangan sistem kod bar katanya, ketika ini MoA merancang untuk mengasingkan baja dihasilkan kerajaan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dengan baja dihasilkan pihak swasta.

Untuk membezakan baja keluaran NAFAS dan swasta sumber berkata, pembungkusan baja kerajaan akan berwarna putih manakala swasta akan diberi warna tertentu.

“Jika berlaku masalah agihan atau ketirisan, mudah bagi pegawai MoA atau pihak berkuasa untuk kenal pasti sama ada baja kerajaan yang diseleweng atau pun baja keluaran swasta disalah guna,” katanya.

Berita Harian X