Sabtu, 26 Oktober 2019 | 4:31pm

Biar KDN siasat komik - Anwar

GEORGETOWN: Semua kepemimpinan tertinggi parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) sudah sepakat supaya siasatan berhubung komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan isu berkenaan juga sudah diselesaikan pada pertemuan bersama kepemimpinan tertinggi PH pada minggu lalu.

“Serah kepada KDN untuk putuskan, jangan besarkan isu ini, tuduh-menuduh...saya tidak setuju kerana banyak masalah lain (yang perlu diselesaikan).

“Ini (perbalahan) hanya dalam kalangan penyokong, itu biasa. Minggu lalu, ada pertemuan bersama semua pimpinan PH. Kita bincang untuk selesaikan semua masalah dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar menyampaikan ucaptama pada Persidangan Inovatif Kemuncak Asia di Pusat Konvesyen SPICE, di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Rabu lalu, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik terbabit termasuk dalam versi Bahasa Inggeris dan Cina kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme selain menyebarkan fakta salah serta mengelirukan.

Sehubungan itu, sesiapa yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual atau memiliki komik terbabit boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Susulan itu, KDN merampas 1,240 naskhah komik propaganda itu di beberapa lokasi sehingga semalam.

Sementara itu, Anwar menyifatkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu, bahawa PH akan tetap berjaya tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanyalah sebagai pandangan peribadi.

“Itu tidak sepenuhnya dia cakap begitu. Itu pandangan peribadi dia, kita pun sudah jelaskan pentingnya keempat-empat parti iaitu DAP, BERSATU, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk teruskan agenda PH,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ronnie baru-baru ini, yang antara lain mendakwa PH akan tetap berjaya walaupun tanpa BERSATU, selain mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menggunakan kuasa prerogatifnya membawa PH menyimpang daripada nilai aspirasi asal pakatan itu.

Anwar menyampaikan ucaptama pada Persidangan Inovatif Kemuncak Asia di Pusat Konvesyen SPICE, di Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam
Berita Harian X