Jumaat, 25 Oktober 2019 | 8:00pm
Keratan akhbar BH, semalam.

Ada projek prasarana guna jurutera asing tak bertauliah

ilahhafiz.abdulaziz.com.my

KUALA LUMPUR: Banyak syarikat kejuruteraan yang melaksanakan projek pembangunan, termasuk yang diberikan kerajaan, dikesan mengguna jurutera asing tidak bertauliah.

Sumber memberitahu BH, penggunaan jurutera asing tidak bertauliah ini bukan hanya dilakukan syarikat kejuruteraan biasa tetapi juga pemain utama dalam sektor pembinaan.

Tindakan berisiko itu diambil bagi menjimatkan kos kerana syarikat berkenaan perlu mempunyai ramai jurutera untuk melaksana dan menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

Difahamkan, jurutera dari India, Sri Lanka, China dan Taiwan menjadi pilihan kebanyakan syarikat terbabit kerana mereka sanggup menerima tawaran gaji yang lebih rendah.

Jurutera berkenaan dibawa masuk sebagai pekerja biasa tetapi diberi tanggungjawab menguruskan perkara berkaitan kejuruteraan seperti pelan projek yang akan disahkan syarikat perunding kemudian.

Penggunaan jurutera sedemikian hanya terbongkar apabila sesuatu projek itu menghadapi masalah atau menemui kegagalan dan mereka selalunya melarikan diri atau pulang ke negara asal untuk mengelak daripada sebarang tanggungjawab.

Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, berkata isu kemasukan jurutera asing tidak bertauliah itu sudah berlarutan sejak lebih sedekad lalu dan kini semakin serius.

Beliau berkata, syarikat besar cenderung mendapatkan jurutera luar kerana mereka memerlukan ramai tenaga pakar pada kos yang rendah biarpun terdapat ramai jurutera muda tempatan dalam pasaran kerja.


Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan. - NSTP/Salhani Ibrahim

“Syarikat-syarikat besar ini mempunyai beratus-ratus jurutera termasuk mereka yang diberi tanggungjawab menguruskan projek tertentu.

“Saya difahamkan khidmat jurutera luar ini, khususnya dari India dan Sri Lanka, jauh lebih murah berbanding jurutera tempatan.

“Jurutera luar ini juga akan terbabit dalam projek besar berkaitan prasarana dan keselamatan awam,” katanya.

BH semalam melaporkan, majikan dalam sektor tertentu dikesan mengaburi pihak berkuasa dengan membawa masuk jurutera asing menggunakan permit pekerja biasa bagi mengurangkan kos gaji.

Laporan itu susulan pendedahan mengenai kadar gaji jurutera tempatan tidak berubah sejak 20 tahun lalu, meskipun negara mencapai tahap kemajuan dan pembangunan yang membanggakan.

Mohamed Fadzill berkata, syarikat berkenaan tidak sepatutnya menggunakan jurutera asing tidak bertauliah kerana Malaysia mampu mengeluarkan jurutera tempatan yang berkualiti dan mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang jika diberi peluang meraih pengalaman serta latihan susulan.

“Saya sendiri mempunyai syarikat dan sentiasa mengambil jurutera tempatan untuk dilatih. Tiada istilah jurutera kita tidak mempunyai kemahiran tinggi dan tiada jurutera yang lebih baik berdasarkan kaum di negara ini kerana jika diberi peluang, mereka mampu melakukan tugas dengan lebih baik,” katanya.

Berita Harian X