Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:00pm
Peniaga di pasar Pekan Golok, Thailand menjual minyak masak dari Malaysia yang juga barang kawalan bermula dari RM 18 hingga RM 28. - NSTP/Fathil Asri

Barangan dibawa masuk guna bot dari Malaysia, dijual pada harga murah

SUNGAI GOLOK: Minyak masak dan tepung gandum yang menjadi barangan kawalan dan diberi subsidi di negara ini, dijual secara berleluasa di pekan Sungai Golok, Thailand.

Berdasarkan maklumat, barangan itu dibawa masuk menerusi bot di Sungai Golok atau motosikal melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang.

Permintaan tinggi terhadap dua barangan kawalan itu dan harganya yang jauh lebih murah berbanding keluaran Thailand, menjadikan penduduk negara jiran itu memilih untuk membeli dua produk itu yang diseludup dari Kelantan.

Tinjauan di sekitar pasar Pekan Sungai Golok mendapati, hampir setiap kedai menjual dua barangan kawalan berkenaan dengan harga RM3.50 bagi minyak masak sekilogram dan RM2 untuk gandum sekilogram.

Harga jualan barangan itu di Malaysia masing-masing adalah RM2.50 dan RM1.35 sekilogram.

Pelbagai jenama minyak masak Malaysia yang dijual di pekan berkenaan terutama cap Kijang dan Suudi bagi paket satu kilogram.

Kebanyakan peniaga memaklumkan, barangan berkenaan dibawa masuk menerusi bot di Sungai Golok atau motosikal melalui ICQS Rantau Panjang.

Seorang peniaga berkata, dua barangan berkenaan seperti minyak masak dan tepung gandum dari Malaysia mendapat permintaan tinggi di Thailand berikutan harga jauh lebih murah.

“Sebagai contoh tepung gandum satu kilogram dijual dengan harga RM2 hingga RM3 saja, sedangkan tepung gandum keluaran Thailand jauh lebih mahal iaitu RM7 untuk satu kilogram.

“Begitu juga harga minyak masak jauh lebih murah keluaran Malaysia berbanding Thailand yang boleh mencecah RM6 untuk satu kilogram. Disebabkan itu, rakyat di sini lebih gemar menggunakan minyak serta tepung gandum dari Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman, berkata pihaknya akan mempertingkatkan lawatan di kedai yang menjual barangan kawalan di kawasan sempadan selain pemborong.

Katanya, bagi pemborong pihaknya akan membuat pemeriksaan dan menyemak dokumentasi serta buku stok bagi melihat ke mana bekalan barangan terbabit dijual.

“Untuk mengawal sepadan bagi mengelak barang kawalan diseludup keluar, kita tidak mempunyai kuasa penuh sebaliknya perlu bekerjasama dengan pelbagai agensi lain.

“Namun, kita akan menumpukan isu ini dengan mengadakan naziran lebih kerap terhadap peruncit dan pemborong,” katanya.

Minyak masak dan tepung gandum antara barangan dalam senarai Barang-Barang Kawalan Berjadual, iaitu barang yang diisytiharkan sebagai barangan kawalan mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Tepung gandum kegunaan am dan minyak masak juga tersenarai antara tiga barangan kawalan yang diberikan subsidi oleh kerajaan, malah tepung gandum turut tersenarai di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011.

Berita Harian X