Rabu, 23 Oktober 2019 | 3:32pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto Abd Rahim Rahmat

Rancang buka 20 lagi Klinik U.n.i

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 U.n.i Klinik dibuka dengan pembiayaan RM5.4 juta menerusi Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) MARA sejak awal tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata U.n.i Klinik menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

“Objektif U.n.i Klinik adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan profesional kerana apabila saya turun padang dan berjumpa dengan kumpulan doktor ini, mereka memaklumkan tidak pernah diajar menjadi usahawan.

“Jadi, apabila mereka menjadi usahawan dan membuka klinik sendiri menerusi program ini, ia bukan saja meningkatkan pendapatan mereka malah berupaya membantu keluarga di luar bandar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang meminta supaya klinik terbabit diutamakan di luar bandar bagi memastikan matlamat program itu tidak tersasar.

Menjawab soalan asal Mastura mengenai konsep U.n.i Klinik, Rina menjelaskan, ia adalah program bagi melahirkan usahawan dalam bidang profesional yang menawarkan perkhidmatan premium di bawah satu sistem yang cekap.

U.n.i Klinik berbeza dengan Klinik Komuniti dengan memberi peluang kepada doktor yang tamat ‘housemanship’ dan memiliki lesen perubatan untuk membuka klinik sendiri dan menawarkan perkhidmatan pada harga berpatutan.

“Kita merancang untuk membuka 20 lagi U.n.i Klinik pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X