Rabu, 23 Oktober 2019 | 1:42pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kenyataan Azmin pandangan peribadi - Anwar

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan menentukan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal atau sebaliknya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kenyataan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam yang menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian PH.

“Itu kenyataan peribadi (Mohamed Azmin). Keputusan ini (Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri), dalam mana-mana sistem demokrasi berparlimen, adalah keputusan parti yang memerintah.

“Maknanya, saya serah kepada Majlis Presiden PH,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Mohamed Azmin semalam yang menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal PRU-14.

Pendirian Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bertentangan dengan konsensus PH membabitkan pertukaran Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh penggal PRU-14, seperti dilaporkan sebelum ini.

Sebelum ini, Anwar dilapor membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Dr Mahathir sekitar tahun depan, iaitu dua tahun selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir.

Anwar turut dilaporkan berkata, wujud perjanjian bertulis menyatakan beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir, yang dipersetujui semua parti komponen PH dan dinyatakan kepada umum sebelum PRU-14.

Diminta mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang menyifatkan pihak yang mahu mengubah pentadbiran dalam tempoh satu atau dua tahun sebagai cuba menubuhkan kerajaan ‘pintu belakang’, Anwar berkata:

“Pintu belakang itu pendapat dialah.”

Anwar berkata, Mohamed Azmin tidak pernah menyatakan pandangannya berhubung peralihan kuasa ketika mereka minum kopi bersama di ‘lounge’ Parlimen minggu lalu.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen Gombak itu wajar mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan konsensus PH kepada umum, Anwar berkata:

“Tak apalah, kita faham latar belakang.”

Berita Harian X