Selasa, 22 Oktober 2019 | 3:08pm
Gambar fail, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika sidang media di Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Eizairi Shamsudin

Komunikasi lemah punca debat kontroversi

KUALA LUMPUR: Siasatan Kementerian Pendidikan mendapati komunikasi tidak berkesan antara pihak penganjur dan panel juri perdebatan serta guru pengiring sekolah menjadi punca debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 mencetuskan kontroversi.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana penganjur iaitu, Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban menyediakan platform untuk menyatakan bantahan.

Sehubungan itu katanya, kementerian akan memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) semua jenis penganjuran dan pertandingan supaya kontroversi seumpama itu tidak berulang.

“Kementerian sentiasa menyokong sebarang penganjuran program dan aktiviti menyumbang ke arah pembentukan sahsiah murid di sekolah.

“Penganjuran aktiviti seumpama itu hendaklah mematuhi garis panduan yang ditetapkan kementerian supaya tidak menimbulkan kontroversi pada masa depan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Maszlee menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mahu tindakan tegas diambil terhadap penganjur Debat Piala Tun Razak 2019 yang bertindak melampau dengan menyentuh hal-ehwal syariah hukum Islam yang termaktub dalam al-Quran sebagai bahan perdebatan.

Maszlee berkata, Debat Piala Tun Razak adalah debat ala Parlimen diadakan di Sekolah Dato’ Abdul Razak yang bermula pada 2009 dan sehingga tahun lalu tiada sebarang insiden negatif berlaku.

“Pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga telah mengambil perhatian terhadap pelajar mereka yang terbabit sebagai juri dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak Kali Ke-8 di SDAR, Seremban, pada 11 dan 13 Oktober lalu menimbulkan kontroversi apabila meminta pelajar berhujah mengenai kecacatan dan kekurangan al-Quran serta memaksa mereka ‘menulis semula al-Quran’ dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal.

Berita Harian X