Ahad, 20 Oktober 2019 | 5:30pm

Agong, Permaisuri bakal hadiri pertabalan Maharaja Naruhito

TOKYO: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, antara Ketua Negara dan kenamaan dari seluruh dunia yang akan menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito di Istana Imperial di sini, Selasa ini.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dijangka tiba di Tokyo menerusi pesawat khas petang esok, dengan ditemani pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Kennedy Jawan, berkata keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke upacara bersejarah itu adalah atas undangan kerajaan Jepun dengan Seri Paduka berdua dijadualkan berada di sini selama empat hari.

“Kehadiran baginda berdua mencerminkan keakraban hubungan antara Malaysia dan Jepun memandangkan banyak kerjasama dilakukan bagi memperkukuhkan hubungan itu dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, politik dan ekonomi.

“Perkara ini dapat dilihat menerusi banyaknya pertukaran lawatan antara kedua-dua negara sejak kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui di Pejabat Kedutaan Malaysia di sini, hari ini.

Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Kennedy Jawan. - Foto BERNAMA

Kennedy berkata, upacara pertabalan akan berlangsung di bilik paling mewah di Istana Imperial, ‘Seiden Matsu-no-Ma’ yang dijadualkan pada jam 1 tengah hari waktu tempatan (jam 12 tengah hari waktu Malaysia), sebelum menghadiri Majlis Santapan Diraja di ‘Hemei-Den’ (Dewan Bankuet Negara) pada sebelah petang.

Pada hari sama, Tunku Azizah akan menghadiri program anjuran Persatuan Pandu Puteri Jepun di sebuah hotel di sini, yang mana diketahui baginda amat aktif dalam persatuan dan aktiviti Pandu Puteri.

Keesokannya, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan menghadiri Jamuan Teh Diraja anjuran Maharaja Naruhito dan Maharani Masako di Istana Akasaka sebelum menghadiri Majlis Santapan Malam anjuran Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, di sebuah hotel di sini.

Kennedy berkata, Maharaja Naruhito pernah berkunjung ke Malaysia pada 2017 ketika bergelar Putera Mahkota Jepun.

Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lalu bagi menggantikan ayahanda baginda, Maharaja Akihito, yang melepaskan takhta atas alasan kesihatan.

Baginda menjadi Maharaja pertama berbuat demikian kerana kelazimannya mereka kekal pada kedudukan tertinggi hierarki Negara Matahari Terbit itu sehingga akhir hayat.

Pemasyhuran Maharaja Naruhito memulakan era baharu Jepun yang dikenali sebagai ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib, sekali gus mengakhiri era Maharaja Akihito iaitu ‘Heisei’ yang bererti mencapai keamanan bermula sejak 1989. – BERNAMA

Berita Harian X