Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:48pm
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (kiri) yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) berkenan menghadiri konsert amal ‘Ketulusan Hati’ yang menampilkan persembahan penyanyi, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah di One World Hotel. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Konsert amal kumpul RM1.6 juta

PETALING JAYA: Konsert Amal Ketulusan Hati anjuran Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor malam ini meraih dana berjumlah RM1.6 juta.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan, berkenan menghadiri konsert yang menampilkan persembahan penyanyi, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah.

Konsert yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu dermawan sektor korporat, pertubuhan dan individu turut mempersembah kemunculan istimewa ‘Band Diraja’ yang disertai kerabat Diraja Johor dan Perak.

Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim turut menyertai band berkenaan.

Dana yang terkumpul akan disalurkan kepada Inisiatif Bantuan Kewangan Pendidikan Zarith Sofiah, program bantuan kewangan bertujuan membantu mengurangkan beban pelajar yang kurang berkemampuan bagi melanjutkan pendidikan di dalam dan luar negara.


Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (duduk tengah) berkenan menghadiri konsert amal ‘Ketulusan Hati’ di One World Hotel. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Sumbangan juga akan disalurkan kepada program pendidikan lain di bawah yayasan berkenaan dalam usaha melahirkan lebih ramai ilmuan yang mampu meningkatkan martabat dan ekonomi negara.

Sehingga kini, sejumlah 1,522 pelajar, terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus rendah (B40) menerima bantuan menerusi inisiatif itu dalam bentuk pembiayaan tambahan bulanan dan bantuan kecemasan.

Yang turut hadir pada konsert amal berkenaan termasuk Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Raja Muda Perak, Raja Datuk Seri Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Kerabat Diraja Johor yang hadir, termasuk Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Berita Harian X