Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:56am

Tukar anggota bermasalah ke unit lain dihentikan - KPN

KUALA SELANGOR: Langkah menempatkan anggota polis yang bermasalah ke unit lain bagi mengelakkan kesalahan berulang sudah dihentikan sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata amalan berkenaan yang menukarkan anggota ke Pasukan Gerakan Am (PGA) adalah tindakan tidak baik dan diibaratkan umpama ‘menyapu sampah di bawah karpet’.

Beliau berkata, sekiranya anggota polis mempunyai masalah dalam mana-mana unit dan bahagian, sama ada peringkat daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), ia harus diatasi di situ tanpa mengambil jalan mudah untuk menanganinya.

“Kalau sudah tahu ada kecenderungan anggota membuat salah, mesti ditangani di tempat bertugas.

“Kita sudah menghentikan tindakan menempatkan anggota bermasalah ke Batalion Gerakan Am kerana ia mempengaruhi warga kerja di tempat itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4.0 2019 (RBV#4) di Dataran Puncak Alam, hari ini.

Turut hadir, Penaung dan Penasihat Gabungan Kelab Permotoran Malaysia, Tan Sri Rozali Ismail.

Abdul Hamid berkata, beliau tidak pernah menyalahkan amalan serta langkah yang diambil oleh pentadbiran terdahulu.

Sebaliknya tindakan pemberhentian amalan itu dibuat kerana tidak mahu anggota bermasalah akan berterusan melakukan kesalahan sama di unit lain dan tidak menerima kaunseling.

“Ini akan mempengaruhi warga di PGA berkenaan selain anggota bawahan,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Hamid berkata, beliau kini dalam usaha meningkatkan integriti dalaman pasukan dengan matlamat menyedarkan anggota yang lesu, degil dan masih tidak insaf.

Katanya, tindakan itu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada polis selain menaikkan semangat anggota membantu orang awam.

“Kita ada kuasa dan ia digunakan untuk membantu orang awam, bukan untuk membuli.

“Untuk langkah seterusnya kepada pihak kerajaan dan kementerian, kita mahu tambah anggota polis dalam Jabatan Integriti kerana sekarang hanya 0.56 peratus anggota sahaja di jabatan terbabit daripada 130,000 polis yang ada.

“Ini jabatan penting dalam membantu menaikkan imej positif polis tetapi kita ada kekangan dari aspek jumlah pegawai,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (tiga, kanan) menerima cenderamata daripada Penaung dan Penasihat Gabungan Kelab-Kelab Permotoran Malaysia merangkap Penaung Program Konvoi Ride Bersekutu Volume 4 (RBV4) 2019 Tan Sri Rozali Ismail (dua, kiri) pada RBV4 2019 sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya di Dataran Puncak Alam, Kuala Selangor hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X