Khamis, 17 Oktober 2019 | 8:31pm
Komitmen kerajaan mempertahankan kebebasan akhbar akan membolehkan industri persuratkhabaran di negara ini berkembang pesat semula. - Foto hiasan

Akhbar hanya bertahan jika ada pembaca

SHAH ALAM: Komitmen kerajaan mempertahankan kebebasan akhbar akan membolehkan industri persuratkhabaran di negara ini berkembang pesat semula.

“Dalam mana-mana keadaan, akan ada jumlah pembaca yang memadai untuk membeli berita benar.

“Apa yang perlu dilakukan ialah kandungan akhbar harus mempunyai konteks serta memberi perspektif dan analisis kepada sebarang peristiwa,” kata Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Beliau berkata demikian pada Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Dicetak? anjuran Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Menurut Chin Tong, tidak harus ada dinding pemisah di antara platform digital atau cetak.

“Apa yang penting ialah kandungan dan ‘kandungan ialah raja’” katanya.

Selain Chin Tong, panel lain adalah Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin; Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan manakala Juruperunding Pemasaran, Profesor Abdul Hamid Mohamed sebagai moderator.

A Kadir berkata, akhbar hanya akan bertahan sekiranya ia masih lagi dibeli dan dibaca. Katanya, jika pelajar jurusan kewartawanan pun tidak membaca akhbar, bagaimana syarikat akhbar mampu bertahan.

Chin Tong pada Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Dicetak? anjuran Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi UiTM di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Roslin Mat Tahir

"Jangan berpura-pura. Masa depan apa? Ini masa depan kita. Anda mahu keluar menjadi wartawan tetapi jika tiada tempat yang mengambil wartawan, bagaimana anda mahu mencari rezeki?

"Jika anda mahu akhbar bertahan dan berkembang maju, saya cabar anda hari ini, kongsi sesama sendiri beli akhbar yang anda boleh baca dan faham, sama ada berbahasa Melayu atau Inggeris.

"Tetapi jika anda tidak berminat, bagaimana kita mahu memastikan akhbar dapat bertahan?" katanya pada forum itu yang turut dihadiri pelajar jurusan komunikasi massa.

Beliau berkata, semua pihak tidak perlu berpura-pura bercakap mengenai maruah, survival Bahasa Melayu, kewartawanan Melayu dan perkara lain yang hebat tetapi jika mereka tidak membaca akhbar bahasa Melayu, ia akan mati.

Pada masa sama, A Kadir berkata, memiliki telefon pintar tidak bermakna sesiapa saja boleh menjadi wartawan atau editor kerana mereka bukanlah seseorang yang terlatih.

Katanya, fungsi telefon bimbit lebih hebat berbanding seluruh kekuatan stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1960-an, namun ia tidak boleh mengenepikan kepentingan wartawan serta editor.

Beliau berkata, jika semudah itu kursus kewartawanan di UiTM sudah boleh dibubarkan.

“Bahaya yang kita hadapi ketika ini, kepada masa depan kita, kita berdepan dengan pihak yang mengetepikan wartawan dan editor.

"Mungkin sebahagiannya kerana kesilapan mereka sebelum ini tetapi saya fikir ia boleh diperbaiki," katanya.

A Kadir berkata, tiada apa yang boleh menewaskan akhbar jika ia mempunyai kandungan berkualiti.

Justeru, katanya, pembaca perlu memilih sama ada mahukan kandungan berkualiti atau sebaliknya.

Beliau juga menyentuh mengenai media sosial yang kini mengalahkan media arus perdana selain menegur tindakan wartawan dan editor memetik daripada media sosial.

“Media sosial, bagi saya adalah untuk anda bersosial," katanya.

Shahril pula berpendapat tiada mana-mana syarikat media cetak di dunia yang meraih keuntungan ketika ini tanpa bergantung kepada penjualan kandungan digital.

Mengambil contoh akhbar The New York Times dan Washington Post, beliau berkata, akhbar sedemikian meminta pembacanya membayar kandungan dalam talian untuk menampung cetakan akhbarnya yang tidak mendatangkan keuntungan.

"Dalam keadaan ini media cetak sendiri sebagai entiti perniagaan sukar diteruskan. Jadi, ada soal pemilikan. Bila ada pemilikan sudah tentu ada soal kebebasan di editorial.

"Kalau kandungan editorial dilihat sebagai tidak mewakili suara rakyat sebenar, kalau kandungan editorial dilihat sangat jelas mempromosi sesuatu agenda sudah tentu perkara itu akan menyebabkan orang tidak mahu membaca, sama ada (kandungan) digital mahupun cetak.

"Kandungan anda perlu dilihat sebagai bebas dan mewakili suara pembaca dan nombor dua, terimalah realiti bahawa walaupun kandungannya bagus kena ada langganan digital," katanya.

Berita Harian X