Khamis, 17 Oktober 2019 | 5:35pm
Awal tahun ini, kementerian menampilkan prototaip kereta terbang iaitu ‘Vector’ pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kereta terbang 2.0 tahun depan?

KUALA LUMPUR: Belum sempat rakyat melihat kelibat kereta terbang pertama negara, versi model keduanya yang menggunakan teknologi berbeza bakal ‘dilahirkan’ pada suku ketiga tahun depan.

Bersemangat berkongsi perkembangan itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata kereta itu rancak dibangunkan di Eropah.

“Perbincangan sudah dilakukan dengan pihak yang mengusahakannya, sama ada untuk membawa kereta itu melakukan penerbangan pertama tahun depan.

MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - Foto Azhar Ramli

“Versi kedua menggunakan teknologi baharu dan kita telah berbincang sama ada ia boleh dilakukan, serta jika ada minat di negara ini untuk melakukan penerbangan pertama pada suku ketiga tahun depan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Awal tahun ini, kementerian menampilkan prototaip kereta terbang iaitu ‘Vector’ pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

Terdahulu, kisah kereta terbang menarik perhatian Dewan apabila Khairy Jamaludin (BN-Rembau) bertanya mengenai persediaan negara menjelang pelancarannya hujung tahun ini dan tarikh khusus yang ditetapkan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Redzuan Md Yusof kerana merealisasikan impian zaman remajanya untuk melihat kereta terbang di Malaysia menjelang 2020.

“Ketika Wawasan 2020 diperkenalkan, saya berusia 15 tahun dan daripada imaginasi kebanyakan remaja ketika itu ialah apa yang ada pada 2020 adalah kereta terbang.

“Saya ucapkan tahniah kepada YB Menteri kerana sekurang-kurangnya imaginasi kereta terbang itu tidak tertangguh sehingga 2030,” katanya dalam soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan.

Mohd Redzuan berkata, industri mobiliti udara berupaya menghasilkan potensi nilai tambah dalam industri sampingan lain, sekali gus menjana pendapatan ekonomi dan menambah tenaga pakar negara.

“Saya nak nyatakan, kalau kita pergi ke Pulau Pinang empat jam sekarang, mungkin pihak swasta dan usahawan berbincang untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang dalam masa satu jam menggunakan kereta terbang.

“Saya bukan kata ia akan berlaku, tetapi ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat dalam 2020,” katanya sebagai menjawab soalan Khairy.

Katanya, kementerian sudah mengadakan mesyuarat penyelarasan khusus bagi membincangkan hala tuju dan keperluan industri mobiliti udara dengan agensi pelaksana.

Ia termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) pernah cakap dekat saya, Pak Wan tak boleh naik kereta terbang selagi tak ada insurans.

“Oleh itu, industri ini juga akan membangunkan limpahan pembangunan industri yang mana kita boleh adakan bidang perniagaan dari segi fintech (teknologi kewangan), AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya,” katanya.

Berita Harian X