Rabu, 16 Oktober 2019 | 5:19pm
Keratan akhbar BH, semalam.

98 peratus keputusan ujian poligraf tepat

KUALA LUMPUR: Ujian poligraf dapat mencapai keputusan tepat sehingga tahap 98 peratus bagi mengesan pembohongan berdasarkan soalan oleh pakar.

Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia menegaskan ujian itu bukan sahaja mampu mengenal pasti individu yang melakukan kesalahan seperti penyelewengan, penipuan dan rasuah, tetapi memberi peluang kepada individu dituduh salah laku, membersihkan nama mereka.

Presidennya, Datuk Seri Akhbar Satar, berkata ujian itu amat berkesan bagi mendapatkan bukti dan keputusan siasatan dalam masa singkat membabitkan kos minimum.

“Penggunaan teknologi seperti ujian poligraf itu perlu digunakan seiring dengan perkembangan dunia terkini. Ini dapat mencegah amalan rasuah atau ‘duit tepi’ khususnya dalam kalangan penguat kuasa.

“Kalau dianiaya, mereka turut mempunyai peluang untuk membela diri. Dalam hal ini, ia wajar diperkenalkan dalam sektor awam.


Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Akbar Satar. - Arkib NSTP

“Walaupun sektor awam di negara ini membabitkan jumlah kakitangan yang besar, ujian boleh dilakukan secara rawak dan mengejut terhadap individu yang dikenal pasti ada masalah integriti.

“Umum mengetahui ada pihak swasta yang menggunakan sistem ujian itu, namun hanya membabitkan jumlah yang kecil untuk tujuan siasatan dalaman dan pengambilan pekerja baharu,” katanya pada BH, semalam.

Ujian poligraf sudah digunakan secara meluas di beberapa negara jiran, termasuk Singapura dan Thailand dan menurut Akhbar sudah tiba masanya ujian berkenaan digunakan secara rasmi di Malaysia.

Semalam, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilaporkan berkata, ujian poligraf boleh digunakan sebagai pembuktian kes di mahkamah, namun terserah kepada institusi kehakiman untuk menentukannya.

Walaupun kaedah itu sudah lama digunakan agensi penguatkuasaan sebagai alat bantu siasatan dan dilihat berkesan dalam menyelesaikan siasatan bagi kes tertentu, penggunaan di mahkamah perlu dilihat secara menyeluruh.

Abu Kassim turut menjelaskan, peranan perlu dimainkan persatuan yang berkaitan, termasuk bertemu pihak mahkamah bagi menjelaskan kewajaran menggunanya di mahkamah.

Mengulas mengenai proses ujian poligraf, Akhbar yang juga Pemegang Kursi Profesor Jenayah dan Kriminologi di Institut Jenayah dan Kriminologi HELP University, berkata sebagai permulaan, individu akan melalui satu proses temu bual biasa bersama pakar berkaitan.

“Selepas itu, pakar akan menyenaraikan beberapa soalan yang dianggap relevan dan ditunjukkan kepada individu itu untuk persetujuannya.

“Kemudian kita akan jalankan sesi ujian poligraf dengan memasang beberapa peralatan di jari tangan, perut, dada dan lengan,” katanya.

Beliau berkata. secara kebiasaannya, ujian poligraf itu akan dijalankan sebanyak tiga kali membabitkan soalan sama, namun susunannya akan berubah.

“Ujian tiga kali itu untuk mendapatkan pergerakan corak graf yang konsisten menunjukkan berlaku pembohongan.

“Pakar akan membuat kesimpulan dan keputusan berlandaskan hasil ujian berkenaan,” katanya.

Berita Harian X