Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:54am
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Jangan jual PLUS demi kepentingan rakyat - PAS

KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan menolak penjualan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi memastikan kepentingan rakyat terus diutamakan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu mengikuti perkembangan terkini tawaran daripada Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) yang juga pemilik Maju Expressway Sdn Bhd (MEX) dengan menawarkan RM34.9 bilion kepada PLUS, termasuk menyerap RM2.7 bilion bagi pampasan tol.

Walaupun cadangan Maju Holdings untuk mengurangkan kadar tol sehingga 36 peratus dilihat menarik, beliau berkata, kerajaan perlu berhati-hati.

“PAS berharap PLUS tidak dijual bagi memastikan kepentingan rakyat terus diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan.

PLUS dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad menerusi UEM Group Berhad dengan pegangan 51 peratus, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (49 peratus).

Tuan Ibrahim berkata, sejak 10 tahun terakhir, PLUS tidak pernah menaikkan kadar tol dan kerajaan tidak perlu membayar pampasan kerana perjanjian konsesi diambil alih oleh syarikat pelaburan negara.

Berdasarkan perkembangan terbaru, Kementerian Kerja Raya sudah membentangkan laporan hasil Kajian Hala Tuju Industri Lebuhraya Bertol kepada Jemaah Menteri pada 2 Oktober lalu.

Sementara itu, PLUS turut memiliki subsidiari 100 peratus Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd dan turut memiliki ekuiti sebanyak 20 peratus dalam syarikat Touch ‘N Go Sdn Bhd.

Sebagai rekod, Lebuhraya MEX (Plaza Tol Putrajaya dan Plaza Tol Salak Selatan) yang dibuka pada 2007 mengumumkan kenaikan kadar tol pada 2015 antara 20 sen hingga RM3.

Kadar tol di Plaza Tol Putrajaya naik daripada RM2.50 kepada RM3.50 (kenaikan RM1). Malah, berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan pada Disember 2018, MEX sepatutnya akan menaikkan lagi kadar tol di Plaza Tol Putrajaya berdasarkan perjanjian konsesi kepada RM4.90 pada tahun ini.

Berita Harian X