Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:36am
KETUA DUPP, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh

ADUN DAP didakwa terbabit LTTE perlu lepaskan jawatan - DUPP

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS (DUPP) menggesa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP meletak jawatan kerana didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua DUPP, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata gesaan itu dibuat kerana rakyat menolak mana-mana pemimpin yang terbabit dengan kegiatan ekstremis, pengganas dan militan.

Tegasnya, berdasarkan pembabitan ekstremisme LTTE, DUPP mengutuk sekeras-kerasnya pembabitan mana-mana rakyat negara ini sama ada secara langsung ataupun tidak dalam kumpulan berkenaan sesuai dengan perintah Allah dalam Surah As-Saaffat.

Seperti sedia maklum LTTE yang diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran adalah kumpulan pengganas yang beroperasi dengan menggunakan senjata api dan bom. LTTE antara kumpulan yang diharamkan oleh 32 negara termasuk Malaysia.

“DUPP menyatakan rasa kesal kerana dua ADUN ini adalah pemimpin yang menguruskan masyarakat tetapi didakwa mempunyai ideologi ekstremisme.

“Oleh itu, DUPP dengan tegas mendesak supaya ADUN ini meletakkan jawatan,” katanya.

Semalam, dua ADUN, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Semua yang ditahan dikesan bukan saja mempromosi, menyokong, menghasut dan menggalak orang ramai, malah turut mencari dana untuk kumpulan pengganas terbabit.

Operasi khas dilancarkan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri

Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak bermula jam 9 pagi hingga jam 2 petang semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata, kedua-dua ADUN terbabit dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit, selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.

Berita Harian X